Header Ads

Terminator simpan banyak rahsia daripada isteri

Bekas Gabenor Negeri California, Arnold Schwarzenegger menyatakan, sikapnya yang gemar berahsia dan kebolehannya menyembunyikan emosi membolehkan dia menyimpan banyak rahsia daripada isterinya, Maria Shriver.
Namun, perangainya membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka apabila beliau akhirnya terpaksa mengaku mempunyai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit bersama pembantu rumah keluarganya beberapa tahun lalu.
Sepanjang 25 tahun mereka berkahwin, Schwarzenegger berkata, beliau tidak mahu memberitahu Shriver tentang beberapa keputusan penting yang pernah dibuat dalam hidupnya seperti menjalani pembedahan jantung dan bertanding untuk jawatan Gabenor California.
Menurut Schwarzenegger, beliau berbuat demikian kerana bimbang isterinya akan memberikan reaksi keterlaluan dan mendedahkan perkara itu kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Dalam buku biografi baharunya, Total Recall: My Unbelievably True Life Story dan wawancara bersama program televisyen 60 Minutes, bekas Gabenor California itu mengakui kesukarannya untuk bersikap jujur melukakan perasaan mereka yang paling rapat dengannya.
Temu bual tersebut disiarkan di Amerika Syarikat kelmarin.
"Beginilah cara saya menangani sesuatu perkara dan ia sentiasa berjaya. Sebenarnya, maksud saya, ia tidak berjaya kerana cara ini bukan terbaik buat mereka yang paling rapat dengan saya kerana ada beberapa perkara saya tidak akan memberitahu mereka," kata Schwarzenegger kepada wartawan, Lesley Stahl dalam program televisyen 60 Minutes.
Bekas penyandang gelaran bina badan Mr. Universe itu menyatakan, sikap berahsia sudah lama diamalkannya iaitu sejak beliau berkecimpung dalam sukan tersebut.
Menurutnya, pendedahan emosi akan membawa kegagalan kepada seseorang atlet.
"Justeru, saya menjadi pakar dalam hidup dalam penafian," kata bintang filem Terminator dan bekas gabenor berkenaan.
Schwarzenegger memuji Shriver dalam buku biografi tersebut sebagai pasangan dan rakan yang penting untuk kejayaannya.
Namun, pada masa yang sama, beliau turut mengakui merahsiakan banyak keputusan tentang kerjayanya daripada pengetahuan Shriver.
Wanita itu memohon perceraian pada Julai lalu.
Walaupun beliau menimbang untuk bertanding jawatan Gabenor selama lebih setahun, Schwarzenegger hanya memberitahu Shriver tentang hasratnya beberapa hari sebelum tempoh penyerahan borang penamaan calon untuk pilihan raya pada 2003 itu berakhir

2 comments

Che Rosliza Che mat said...

perahsia rupanya pelakon hebat nie...cr memang minat dia dati dulu....

Irwan Syah@ Wak said...

nsib baik boleh simpan rahsia...klu dia buka rahsia.....kenyang....