Header Ads

Lelaki disyaki terbit Innocence of Muslims dijel

Mark Bassely Youssef, yang mendakwa bertanggungjawab menerbitkan Innocence of Muslims - filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, dihukum penjara setahun di penjara persekutuan Amerika Syarikat (AS), semalam.

Hukuman itu dijatuhkan kerana didapati bersalah melanggar syarat-syarat tempoh pemantauan ketika menjalani hukuman di luar penjara. Hukuman itu adalah hasil rayuan antara peguamnya dan pendakwa raya persekutuan.

Sebelum ini lelaki berkenaan dikenali dengan nama Nakoula Basseley Nakoula dan pernah disabitkan kesalahan berhubung kes menipu bank pada 2010, dan diletakkan di bawah pemantauan selama lima tahun dan tidak boleh akses kepada Internet. Laporan media sebelum ini pernah menyebut dia menggunakan sehingga 20 nama samaran.

Dia membuat pengakuan di mahkamah terbuka bahawa ada menggunakan beberapa nama palsu dan melanggar perintah tempoh pemantauan di luar penjara dan memperoleh lesen memandu dengan menggunakan nama palsu.

Selepas Bassely Youssef meninggalkan bilik perbicaraan, peguamnya, Steven Seiden memberitahu media bahawa anak guamnya mahu menyampaikan stau mesej. “Satu perkara yang dia mahu saya maklumkan pada anda semua ialah Presiden (Barack) Obama mungkin berjaya mendapatkan Osama bin Laden (yang ditembak mati Mei 2011), tetapi dia tidak membunuh ideologinya,” kata Seiden. Dipetik AP, Seiden yang ditanya maksud mesej itu berkata, "saya tidak tanya dia dan saya tidak tahu."

Hakim Mahkamah Daerah AS, Christina Snyder menerima pengakuan dan segera menghukum Bassely Youssef selepas mengaku bersalah atas empat daripada lapan tuduhan termasuk penipuan dalam mendapatkan lesen memandu California .

Pendakwa bersetuju menggugurkan empat tuduhan di bawah perjanjian rayuan, termasuk meminta tempoh pemantauan yang lebih lama. Semua pihak bersetuju tiada pencabulan berkaitan dengan kandungan filem Innocence of Muslims. Namun, Penolong Peguam AS, Robert Dudgale berhujah bahawa sikap menipu Bassely Youssef berkenaan identitinya telah menyebabkan kemudaratan kepada orang lain termasuk pelakon dan krew filem.

“Mereka tidak tahu bahawa dia (sebenarnya) seorang banduan yang baru dibebaskan," katanya. Kata beliau, "sekiranya mereka tahu, sudah pasti mereka akan berfikir dua kali." Selain itu katanya, krew filem juga menerima ancaman bunuh dan merasa karier mereka sudah dihancurkan. Seiden berkata, anak guamnya mengaku menjadi penulis skrip filem itu tetapi tidak terlibat dengan penerbitannya kecuali seperti yang digambarkan menjadi ‘penasihat budaya’.

Bassely Youssef, 55, ditahan September lalu, seminggu selepas dia bersembunyi ketika protes yang turut membawa kepada kematian lebih 60 nyawa. Pihak berkuasa persekutuan pada mulanya memohon hukuman penjara dua tahun tetapi dikenakan setahun penjara selepas rundingan perjanjian rayuan. Pendakwa berkata, mereka tidak akan meneruskan dakwaan baru terhadap lelaki itu.

Snyder menolak permintaan Seiden untuk meletakkan Bassely Youssef di bawah tahanan rumah. Bassely Youssef akan menghabiskan masa di penjara Southern California. Selepas dibebaskan, Bassely Youssef dilarang menggunakan komputer atau Internet untuk tempoh lima tahun tanpa kebenaran daripada pegawai pengawasnya.

Pihak berkuasa persekutuan berkata, mereka percaya Bassely Youssef bertanggungjawab terhadap filem itu tetapi mereka masih belum menyatakan sama ada dia yang menyebarkan filem itu menerusi Internet. Dia juga tidak dibenarkan menggunakan nama lain selain daripada nama rasminya tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada pegawai pengawasnya

3 comments

Remy hazza said...

setahun jer..... patutnya kasi bunuh terus...... tengok betapa angkara dia, ramai yg terkorban......dan huruhara.....

baby comel said...

pandainya dia menipu.. xpe, tunggulah sampai masa setiap tindakan tu pasti ada balasannya

Mr.Clive said...

ni masalahnya bila ego diikutkan terlebih lebih.... zz