2012 tahunku yang kacak
China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.

Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.
Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.

Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.

Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.

Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya.

Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.
Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini.
Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut.