Justin Bieber
Kali terakhir me­ngubah gaya rambutnya secara drastik menyebabkan dia kehilangan lebih 80,000 pengikut di Twitter.

Justeru Justin Bieber boleh menjangkakan sekali lagi sejumlah besar peminat akan mengetepikannya selepas dia mempamerkan gaya rambut terbarunya. Penyanyi kelahiran Kanada itu menunjukkan gaya terbaru rambutnya ketika sesi bertemu peminat pada hujung minggu lalu.

Bieber, 19, mengetepikan gaya sebelum ini dengan memilih gaya yang benar-benar berbeza. Bagaimanapun, pemerhati berpendapat, gaya itu seolah-olah Bieber meniru Rihanna dan Miley Cyrus yang terkenal dengan rambut pendek sebelum ini.

Peminat Bieber memberi reaksi berbeza-beza. Ketika sebahagian mengalu-alukan penampilan itu, sebahagian yang lain menyatakan secara terbuka betapa meluatnya mereka melihat penyanyi terbabit.

Seorang daripada peminat Bieber menulis di Twitter: “Apa yang dah dibuat Bieber pada rambutnya? Secara rasmi saya tidak lagi meminatinya.” Seorang lagi peminat menulis: “BIEBER ME­NGAPA ANDA MEMOTONG RAMBUT BEGITU? #ew #why’.”

Peminat lain menambah: “Rambut baru Justin Bieber mengingatkan saya kepada Miley Cyrus atau Rhianna LOL” Komen lain yang dapat dilihat menyatakan: “Rambut baru Bieber me­nyebabkan saya sesak nafas.”
Justin Bieber
Satu daripada sebab mengapa Bieber menukar gaya rambutnya ialah, dia mahu membuat permulaan baru selepas berpisah daripada Selena Gomez awal tahun ini. Bieber juga mendapat publisiti buruk baru-baru ini, gara-gara pengalamannya tinggal sementara di London untuk memenuhi jadual siri konsert di Britain.

Ketika di situ, Bieber terbabit dengan perselisihan faham dengan paparazzi dan mengecewakan peminat apabila dia lewat muncul di pentas. Sementara itu, pemerhati berkata, Bieber memang sangat serius apabila menguruskan rambutnya dan dia gemar menukar imej dari semasa ke semasa.

Ketika menjadi tetamu Oprah tahun lalu, Bieber bercerita mengenai kecenderungannya itu. “Saya sukakan rambut panjang, tetapi apabila bosan, saya mahu menukar­nya sedikit,” katanya. Pada 2011, Bieber mengumpul AS$40,668 (RM123,535) di eBay apabila dia menjual rambutnya kepada pembida tertinggi.