Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ? - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ?

Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ?
Satu isu lapuk yang belum ada penyelesaiannya. Satu isu yang membimbangkan, pada pendapat aku. Satu isu yang boleh membangkrapkan negara ini seprti berlaku di US beberapa tahun yang lalu.
Dipetik dari artikel yang saya perolehi dari rakan =.

PADA 5 JULAI 2013, Bank Negara menguatkuasakan peraturan baru menghadkan:

 


(i) pinjaman peribadi setakat 10 tahun maksimum (dahulu 25 tahun);
(ii)pinjaman hartanah dan rumah 35 tahun (dahulu 45 tahun), dan
(iii) tidak membenarkan lagi pinjaman pra kelayakan.

Alasan yang diberikan Bank Negara adalah untuk menangani kenaikan hutang isirumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013.

Dengan harga rumah mahal, harga kereta mahal dan kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia adalah ‘juara’ dalam membuat hutang, iaitu hutang isirumah kita adalah 140% berbanding dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%, Korea 101%, Thailand 53% dan Indonesia 38%.

Akibat hutang yang banyak ini, kadar individu yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari dalam setahun, di mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun.

Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ?
Jumlah individu yang bankrap dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang mana faktor utamanya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman (hutang). Persoalannya, kenapa hutang rakyat kita tinggi?

Menurut data Bank Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari pinjaman perumahan dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga paling banyak.

Pertanyaannya, mengapa harga rumah mahal sehingga boleh membuatkan kita terhutang sampai ke tua? Bila rakyat bertanya hal ini, jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan seperti simen, pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi naik harga. Bagi ahli ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran.

Saya pun hairan kenapa kerajaan tidak boleh mengawal harga rumah ini? Apakah payahnya sangat untuk kerajaan menetapkan harga rumah mampu milik kepada rakyat, iaitu rumah yang boleh dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan RM100-RM200 ribu sahaja.Ini kerana saya lihat harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah di luar dari istilah rumah mampu bilik.

Bayangkan bagaimana seorang yang baru bekerja boleh memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 20”X70” pun sudah mencecah RM500 ribu.

Bayangkan harga rumah kondominium di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit dan harga sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta. Siapakah yang mampu membelinya?

Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ?
Bayangkan pula kalau ada hutang kereta, anak kecil 3 orang, kena beli lampin anak, bayar orang gaji, kad kredit, pakaian, persekolahan, minyak kereta dll, maka apa lagi yang tinggal?

Bagaimana mungkin mampu untuk membeli rumah semahal ini jika pendapatan suami isteri hanya RM5 ribu sebulan sahaja dengan bayaran yang ditetapkan dalam masa 35 tahun. Jika suami isteri berpandapatan RM5 ribu pun tidak mampu, bagaimana bagi mereka yang berpendapatan lebih rendah dari itu?

Saya cukup risau dengan harga rumah yang tidak terkawal dan over priced ini. Sekarang ini pun dengan gaji RM6 ribu sebulan, belum tentu dapat membeli rumah yang berharga RM400 ribu. Andaikan si pembeli meminjam RM400 ribu sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun.

Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun.
Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan RM6 ribu sebulan sekarang?

Apabila melihat kepada masalah harga rumah yang semakin ‘tidak masuk akal’ sekarang ini, saya terpanggil untuk membincangkan masalah ini. Saya sedih melihat nasib rakyat yang terhimpit dengan masalah ini kerana biarpun sudah berumur 45 tahun dan berkelulusan universiti, sehingga sekarang pun masih ‘menyewa’ lagi.

Itu belum lagi mengambil kira mereka yang bekerja di bawah dari tahap gaji pegawai yang berkelulusan universiti.

Kenapa Rakyat Malaysia Banyak Hutang ?
Atas masalah harga rumah yang tinggi ini, saya mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan berikut:

i. Turunkan kadar faedah daripada 4% kepada 2% sahaja untuk pinjaman kerajaan dan dari 6% kepada 3% sahaja untuk pinjaman bank bagi rumah pertama. Ambil perhatian kerajaan Kelantan tidak mengenakan faedah kepada kakitangan awamnya dan Public Bank hanya mengenakan kadar faedah sebanyak 1% sahaja kepada kakitangannya.

ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan dari RM180 sebulan kepada jumlah yang lebih wajar. Di Kuala Lumpur, sewa sebilik pun sudah RM250-500 sebulan. Bagi pekerja swasta pula, kerajaan perlu mewajibkan syarikat membayar elaun perumahan kepada pekerjanya campur dengan gaji minimum yang baru diwajibkan.

iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah sesuai dengan permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta. Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda akta supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat swasta hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan kerajaan supaya harga menjadi terkawal dan tidak lagi melampau.

iv. Menteri Perumahan yang baru sepatutnya merangka mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada dengan mengurangkan kos pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.

v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga tanah, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi tanah kerana tanah adalah milik kerajaan yang boleh dikawal.

vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan, maka binalah apartment ‘layak duduk’ yang sesuai untuk golongan berpendapatan rendah. Mereka tetap perlu disediakan rumah kerana itu adalah keperluan asas manusia yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya. Jangan pula cari alasan ‘kalau ayam mahal jangan makan ayam’, atau ‘kalau rumah di bandar, mahal sewa atau belilah rumah di kampung’.

Saya yakin jika kerajaan boleh membuat pelbagai program seperti Hari Sukan, Hari Wanita dan Hari Belia dengan kos yang berjuta, tentunya tidak sukar bagi kerajaan untuk mengambil langkah lebih adil bagi menyediakan perumahan kepada rakyat ini.

Mengingatkan tentang hutang rakyat kita yang terlalu tinggi dan ramai lagi dari kalangan mereka yang masih belum mempunyai rumah sendiri, hati saya mengeluh. Semoganya tidak lagi selepas ini...

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Penganalisis

13 comments:

Nafisa81 said...

koi beli rumah yg diduduki skarang pada tahun 2007 dengan harga RM135k..seorang kawan ingin membeli rumah sebaris dgn rumah koi...dan kini harganya RM220k. sgt terkejut dgn peningkatan harga rumah dalam masa 5 tahun.

Bin Muhammad said...

Saya sokong tuan HI!
Kalau tak berhutang tak merasalah dapat rumah sendiri (belum pun dapat, masih berhutang...huhu, Dah tua nanti baru jadi hak milik)
Kehidupan sekarang ini pun amat membebankan, 10~20 tahun akan datang? Kesian anak2 kita...

NJihe.am said...

Salam singgah, yang belum bekerja ini tak tahulah apa jadi. Harap semua pihak boleh ambil iktibar daripada apa yang terjadi dalam negara ini. Entri yang sangat bermanfaat. studioous.blogspot.com.

Izzah Azizah said...

setuju sangat dengan artikel. Kerajaan please lah buat pindaan balik untuk penurunan harga rumah. dah ramai sangat rakyat kita berhutang, boleh jejaskan negara sendiri.. Mohon Bajet 2014 ni lebih memfokuskan membantu rakyat. biarlah takde bangunan besar2, program besar2 asalkan rakyat sejahtera..

Carlos Santiago said...

sekarang dh terlalu jauh. golongan kapitalis dh kawal segala permainan ni. akta tanah dan perumahan yang tidak kuat dalam urusan jual beli. faedah semua berdasar OPR yang rakyat tidak berapa cakna. Sebabkan mengejar negara maju, so semua perlu facing. turunkan interest juga tak menyelesaikn masalah dan mungkin akan berlaku market bubble yang sangat dangerous pada pergerakan saham.

Kita semua terperangkap dalam monopoly game. sebab tu donald trump dan robert t kiyosaki menyatakan "why we want you to be rich". sebab in future hanya ada 2 golongan. samada miskin @ kaya. Tiada lagi peringkat pertengahan bagi era one world government.

Salah siapa? salah umat islam sendiri yang tidak memperkukuhkan sistem kewangan islam. Yang lebih berpaksikan pada zionism financial system.

Kathy Rbain said...

yelah..sebab tulah kegiatan along pun tak selesai..tak leh cover hutang ni,terpaksa pinjam dengan along..lepas tu,gali lubang tutup lubang je la...cover sana sini..

Nadia Johari said...

banyak sangat hutangnyer kalau macam ni..memang takkan selesai..

Mia Kassim said...

Saya pun sama...hutang keta dan rumah lambat lagi nak abiss....sampai ke tua lah jawabnya...huhu

cik amal said...

ni yg kena cepat2 byr ptptn

Raudzah Z said...

persoalan yang tak pernah selesai hanif..nway salah satu sebab ramai rakyat di negara kita bergaji kecil..kalau tak berhutang memang tak akan ada kereta & rumah (item yang paling ramai berhutang) Then tu living cost di negara kita juga semakin tinggi..so memang agak membebankan

Sukma Haron said...

orang kaya semakin kaya, yang miskin makin miskin...tak berhutang tak merasa ler rumah @ kereta....

hainom OKje said...

Ada kalaya hutang tu sebab keperluan ada jugak kemahuan utk bergaya melebihi kemampuan....

Anonymous said...

Kasihan rakyat malaysia seumur hidup menanggung hutang .... Ada yg sewa rumah seumur hidupnya..... Aku bersyukur menjadi warga indonesia tak mengalami itu semua... Rumah kami lagi besar..... Makanan kami lagi berkwality......senangnya hidup di indonesia apalagi dengan pertumbuhan ekonomi indonesia yg meningkat akhir2 ini..... Jalanan banyak macet.... Terlalu banyak rakyat miskin kami yg mampu beli kendaraan tanpa hutang seperti negara malaysia.... Hehehe