Carian MH370 Kawasan Dikecilkan - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Carian MH370 Kawasan Dikecilkan

MH370
Usaha mencari MH370 masih diteruskan walaupun keputusannya semakin samar-samar apabila jangka hayat bateri kotak hitam mungkin sudah tamat. Namun usaha kerajaan Malaysia dan dunia tidak pernah luntur demi ingin mengetahui misteri kehilangan pesawat MH370 ini.
Pasukan mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kini berusaha mengecilkan kawasan carian sebelum Kenderaan Dalam Air Automatik iaitu BlueFin 21 digunakan bagi operasi di dasar laut.
Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan semalam berkata, mereka memerlukan isyarat kotak hitam yang baharu untuk mengecilkan kawasan carian sebelum BlueFin 21 boleh digunakan.
Bagaimanapun, para pegawai bimbang jangka hayat bateri pada kotak hitam mungkin sudah tamat selepas tiada lagi isyarat baharu dikesan sejak kali terakhir dikesan pada Selasa lalu.
BlueFin 21
Kata JACC, usaha untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac lalu diteruskan dengan 11 buah pesawat dan 14 kapal dihantar di selatan Lautan Hindi semalam.
Pada minggu lepas sebanyak empat isyarat detik dikesan dipercayai dipancarkan oleh kotak hitam yang mengandungi data penerbangan serta rakaman suara kokpit.
Pasukan mencari kini memberi tumpuan mencari kotak hitam berkenaan kerana ia merupakan kunci terhadap jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.
Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi.
Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal hilang selepas berpatah balik ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke China.
Analisis pada data satelit kemudiannya mendapati penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. 

1 comment:

Kathy R'bain said...

moga segera di temukan..