Header Ads

Kemelut Trengganu Selesai -Semua Masuk UMNO

Kemelut Trengganu Selesai -Semua Masuk UMNO
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusannya keluar daripada Umno, dalam satu pertemuan di Putrajaya, hari ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata dalam pertemuan itu, Ahmad turut menarik balik surat keluar daripada Umno, serta peletakan jawatannya di dalam parti.  

Ahmad, yang juga Adun Kijal, turut berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, kata Mohd Jidin kepada Bernama ketika dihubungi menerusi telefon di sini hari ini.

Beliau berkata, Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.

Mohd Jidin berkata, Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.

"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.

"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.

Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pada Isnin lalu, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau. 

2 comments

Kathy R'bain said...

selesai juga...

baby comel said...

Politik Malaysia..pepatah dulu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata boleh je buat U-turn'. Dont worry be happy kan.. Selamat utk perpaduan parti. Okeyy