Header Ads

Jom Beribadat Malam Nisfu Syaaban

Malam Nisfu Syaaban

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada Allah Subhanahu waTa'ala kerana dengan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan Sya'ban pada tahun ini iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, di mana pada bulan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat yang berkebajikan. 

Nisfu dalam bahasa Arab bererti setengah dan manakalah Nisfu Syaaban pula bermaksud “Setengah Bulan Syaaban”. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu hari ke-14 pada siangnya. Mengikut pengiraan tarikh di dalam Islam, pertukaran tarikh berlaku pada selepas maghrib dan bukannya selepas 12 tengah malam seperti kalendar masihi.

Maka menghidupkan malam Nisfu Syaaban sangat digalakkan di dalam Islam bagi memperoleh keberkatan di atas malam ini. Semoga amalan baik yang dilakukan pada malam itu diterima oleh Allah.
Pada tahun 2014 ini, Malam Nisfu Syaaban jatuh pada tarikh hari ini(12/6/2014) bersamaan 15 Syaaban.
Bulan Sya'ban adalah antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka seharusnyalah kita sebagai kaum Muslimin menyambut dengan rasa syukur dan memuliakannya dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu waTa'ala.
 
Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering lakukan di bulan tersebut. Antaranya ialah memperbanyakkan puasa sunat, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang maksudnya:

 عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

"Dari Abi Salmah, dari Aisyah Radiallahu 'anha berkata: Adalah Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat lebih banyak daripada puasa di bulan Sya'ban".
 
Dalam kita memperkatakan mengenai kelebihan bulan Sya'ban, terdapat satu malam di bulan tersebut yang dikenali dengan 'Nisfu Sya'ban'. Adapun malam Nisfu Sya'ban ini mempunyai keistimewaan dan merupakan salah satu malam yang paling mustajab (doa dimakbulkan), malam pengampunan dan merupakan malam yang penuh dengan rahmat, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah 
 
 إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ
 
"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahu 'anha berkata: Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu waTa'ala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Sya'ban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu waTa'ala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani KaliB"
 
Di samping itu, dalam keghairahan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban ini dengan berbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam melakukan perkara-perkara bid'ah, seperti melakukan Sembahyang Sunat Nisfu Sya'ban, kerana sembahyang ini sebenarnya tiada tsabit dalam ajaran Islam.

Oleh itu sama-samalah kita menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan memperbanyakkan membuat perkara sunat yang bertepatan mengikut apa yang telah diajarkan kepada kita. Semoga amalan dan ibadah yang kita kerjakan mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu waTa’ala.. amin.. 

2 comments

Sukma Haron said...

nice sharing....hope dapat diamalkan....

Engku Muzahadin said...

Semoga ibadah diterima Allah ;)