Video Rompakan Kedai Runcit Di Kemaman - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Video Rompakan Kedai Runcit Di Kemaman


Video Rompakan Kedai Runcit Di Kemaman
Seorang pembantu kedai bersyukur dirinya tidak ditembak oleh seorang daripada empat perompak yang mengacukan pistol ke arahnya ketika mereka merompak kedai runcit di Kampung FELDA Neram 1, dekat sini, pagi semalam.

Nor Atikah Fatihah Mat Ghani, 20, berkata ketika kejadian dia berada di kaunter bersama seorang pekerja lain, Mariana Sabri, 30, apabila seorang wanita dipercayai rakan perompak, masuk membeli minuman pada jam 9.30 pagi.

Katanya, sebaik membeli minuman dan keluar dari kedai, seorang lelaki masuk dalam kedai dan berpura-pura membeli rokok sebelum memberi isyarat kepada seorang rakannya di luar supaya masuk. “Kedua-dua lelaki itu meluru ke kaunter tempat saya berada dan mengacukan pistol sebelum mengarahkan saya diam jika tidak mahu diapa-apakan.

“Saya tidak tahu sama ada pistol yang diacukan itu benar atau palsu kerana sangat takut. Ketika itu hanya mampu berdoa agar pistol itu tidak meletup,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 
Menurutnya, seorang daripada perompak itu mengeluarkan beg dan mengarahkan dia memasukkan wang yang ada dalam laci kaunter.

“Saya yang ketakutan mengikut arahannya itu, perompak terbabit melarikan wang tunai RM500 serta kad prabayar bernilai RM600,” katanya. Menurutnya, sebelum melarikan diri perompak terbabit menyingkap tudung yang dipakainya untuk melihat sama ada dia memakai barang kemas atau tidak.

 “Semua suspek melarikan diri dengan kereta Proton Persona berwarna perak ke arah Kuantan. Saya menghubungi majikan memaklumkan kejadian itu,” katanya. Nor Atikah Fatihah berkata, dia dan rakan bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan berharap agar perompak terbabit segera ditangkap pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan.

No comments: