Header Ads

Kelebihan Solat Sunat Tahajjud

Kelebihan Solat Sunat Tahajjud
Satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah ialah dengan bangun mengerjakan ibadah, khususnya sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam. Tetapi, satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan. 

Jawapannya ialah kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang mahluk yang mengaku bertuhankan Allah SWT. "Sesungguhnya, bukan satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi". Juga bukan satu perkara mudah untuk berwudhu’ dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan juga bukan perkara mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan menahan nikmat tidur yang masih belum dipenuhi
Maksudnya : “Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke suatu darjat yang terpuji)"
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya., namun bagi mereka yang biasa, ia akan menjadi satu kenikmatan pula. Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang tahajud. Pada waktu sepertiga malam inilah, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Saidina Umar Al-Khatab menyatakan fadhilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata : “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang malam (tahajud) dengan khusyu’ nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.

Kurniaan di dunia ialah :

1)      Jauh daripada segala penyakit
2)      Lahir kesan takwa pada wajahnya 
3)      Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia
4)      Percakapannya mengandungi hikmah
5)      Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat kurniaan di akhirat ialah : 

1)      Dibangkitkan dari kubur dengan wajah yang berseri-seri
2)      Dipermudahkan hisab
3)      Cepat melalui Sirat al-Mustaqim- seperti kilat
4)      Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat dengan tangan kanan

WAKTU MENUNAIKAN SOLAT TAHAJJUD
  • Dilakukan selepas solat Isyak sehingga terbit fajar, tetapi waktu afdal ialah 1/3 malam yang terakhir.

CARA MENUNAIKAN SOLAT TAHAJUD  

1. Niat Lafaz niat ialah
أُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud: Sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah taala.

2. Sekurang-kurangnya 2 rakaat satu malam atau beberapa rakaat mengikut kemampuan sama ada bersendirian atau berjemaah.

3. Pada rakaat Pertama Baca:
 Al-fatihah & Al-Kafirun atau mana-mana surah. 

4. Pada rakaat kedua baca:
 Al-Fatihah dan Al-ikhlas atau mana-mana surah 

5. Membaca doa tahajjud selepas salam
Kelebihan Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.
Rasulullah SAW telah bersabda,:  “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”    (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)




No comments