Header Ads

Sejarah Ukraine Dan Rusia

Sejarah Ukraine Dan Rusia

Ukraine menghadapi kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemerintah pro-Moskow pada penghujung 2004 hingga awal 2005, tetapi pemerintah pro-Moskow di bawah Presiden Viktor Yanukovych kembali menang selepas beberapa tahun, hingga dijatuhkan awal tahun ini oleh kelompok pro-Barat.

Sebagai respons, Mac lalu Rusia menakluk Crimea, wilayah Ukraine berbentuk semenanjung di Laut Hitam, dalam satu tindakan mengejutkan dan meningkatkan permusuhan antara Rusia dengan Barat, terutama AS. Crimea yang terletak dalam kawasan yang lebih cenderung ke Rusia menempatkan pengkalan tentera laut Rusia di Laut Hitam, di Sevastopol.

 Pangkalan Sevastopol ialah pangkalan tentera laut Rusia di kawasan penting, di wilayah bersempadan dengan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan tidak beku semasa musim dingin.

Konflik terus berlangsung di Ukraine, apabila kumpulan militan pemisah disokong Rusia terus aktif di wilayah timur Ukraine yang didiami majoriti penduduk cenderung ke Rusia. Perkembangan terbaharu ini meningkatkan konfrontasi antara Rusia dengan Barat, dan memberi peluang kepada AS dan sekutu meningkatkan tekanan dan mengolah tindakan baharu terhadap Putin dan Moskow.

Pada 1997, semasa Rusia di bawah pemerintahan Presiden Boris Yeltsin, satu perjanjian penting dicapai dengan Ukraine pimpinan Presiden Leonid Kuchma, jirannya di sebelah barat yang menempatkan semenanjung Crimea dan pelabuhan tentera laut Sevastopol.

Hasil persetujuan yang tercapai setelah pertikaian selama lima tahun itu, Rusia membayar satu jumlah pampasan kepada Ukraine, dan tentera laut Rusia, Armada Laut Hitam dibenarkan berada di Sevastopol untuk tempoh 20 tahun lagi, sehingga 2017. Moscow juga, sebagai ganjaran kepada tindakan Kiev itu telah melupuskan hutang pembelian tenaga oleh Ukraine.

Perjanjian itu menjelaskan dua isu penting dalam perkembangan terkini hubungan Rusia-Ukraine, iaitu semenanjung Crimea dan pangkalan tentera laut Sevastopol dan pergantungan Ukraine pada sumber gas dan minyak Rusia.

Kedua-dua perkara, status Crimea dan bekalan tenaga terutama gas Rusia kepada Ukraine menjadi senjata penting masing-masing dalam diplomasi antara dua negara terbabit. Hal ini menjelaskan implikasi besar perjanjian diskaun gas dan pelanjutan kedudukan tentera laut Rusia di pangkalan Sevastopol di semenanjung Crimea.

Perjanjian yang dicapai pada 21 April, 2010 dan disahkan kedua-dua parlimen Rusia dan Ukraine pada 27 April memberikan gas Rusia kepada Ukraine pada harga yang lebih rendah, dan membenarkan Rusia berada di Sevastopol hingga 25 tahun lagi selepas 2017, iaitu hingga 2042.

Perjanjian itu menetapkan harga gas Rusia yang dijual kepada Ukraine dikurangkan daripada AS$330 per 1,000 meter padu kepada AS$230 bermula separuh kedua tahun 2010. Diskaun ini dikira terhadap 30 bilion meter padu gas yang akan diimport oleh Ukraine pada 2010 dan 40 bilion meter padu lagi untuk tempoh 2011 hingga 2019.

Perjanjian ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Ukraine dalam tempoh perjanjian tersebut, kerana mengurangkan beban terhadap industri yang memakan banyak tenaga dan meringankan beban rakyat dan kerajaan terhadap harga tenaga yang semakin tinggi selepas Rusia mula menaikkan harga tenaga.

Rusia pula, menurut Putin, terpaksa menanggung jumlah AS$40 bilion dalam bentuk bantuan kepada Ukraine hasil perjanjian itu. Dalam hal ini, beban cukai Ukraine dipindahkan kepada Rusia, dalam usaha Rusia untuk mencapai perjanjian yang membenarkannya terus berada di Sevastopol untuk satu tempoh yang lebih lama.

Semenanjung Crimea mempunyai satu kedudukan yang istimewa bagi Rusia, antaranya disebabkan kedudukan strategiknya di Laut Hitam. Armada Laut Hitam Rusia yang mempunyai sekitar 300 buah kapal - menurut anggaran paling konservatif - mendominasi Laut Hitam, tetapi kedudukan Rusia terjejas ekoran kejatuhan Kesatuan Soviet apabila Ukraine merdeka dan Armada Laut Hitam berada di wilayah negara asing.

Semenanjung Crimea ialah sebuah wilayah Rusia sehingga Nikita Krushchev pada 1954 menyerahkan wilayah itu kepada republik Ukraine. Walau bagaimanapun, pemindahan itu terbukti memberi kesan buruk kepada Rusia setelah runtuhnya Kesatuan Soviet apabila semenanjung Crimea menjadi sebahagian negara Ukraine yang merdeka.

Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, keadaan menjadi lebih buruk dengan berlakunya perluasan keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan perubahan kiblat politik negara-negara bekas Soviet termasuk Ukraine kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Sehingga kini, seperti yang disaksikan melalui perjanjian Presiden Rusia Dmitri Medvedev dengan Presiden Ukraine Viktor Yanukovych pada 2010 itu, kiblat politik rejim pemerintah Ukraine sangat penting dalam usaha Rusia mengekalkan kedudukannya di Sevastopol.

Sentimen nasionalis di kedua-dua Rusia dan Ukraine terus berjaya menjadikan posisi istimewa semenanjung Crimea sebagai alat permainan kuasa masing-masing. Pemimpin-pemimpin Ukraine termasuk bekas Presiden Viktor Yushchenko (menamatkan tempoh presiden pada Februari 2010) menggunakan sentimen anti-Rusia melibatkan isu Crimea dalam kempen pilihan rayanya yang lalu.

Walau bagaimanapun, kekuatan rakyat yang condong ke Barat dan pro-Rusia agak seimbang di Ukraine, menjadikan eksploitasi sentimen berhubung Crimea terbatas. Bagi kumpulan ini, hal ini diburukkan lagi apabila kem pro-Rusia Yanukovych menang dalam pilihan raya presiden awal tahun 2010.

Yushchenko ketika menjadi presiden bertindak cuba mengekang kebebasan tentera laut Rusia di Laut Hitam, dengan mengenakan pelbagai peraturan yang hakikatnya tidak dihiraukan oleh Rusia. Semasa perang Rusia dengan Georgia pada Ogos 2008, Yushchenko mengeluarkan dikri menetapkan pergerakan tentera laut Rusia keluar dan masuk Sevastopol perlu mendapat kebenaran kerajaan Ukraine.

Ukraine juga menggunakan Crimea sebagai senjata diplomasi dalam hubungannya dengan Rusia. Ekoran perang Ogos 2008 itu, Ukraine menerima lawatan kapal tentera laut AS yang menunjukkan gambaran peranan keselamatannya di Laut Hitam. Selain Georgia, Ukraine turut menjalin kerjasama ketenteraan dengan AS dalam usaha meningkatan kemampuan tentera lautnya di Laut Hitam, dalam usaha mengimbangi dominasi Armada Laut Hitam Rusia.

Pada masa sama, Rusia juga sedang meningkatkan kemampuan Armada Laut Hitam dengan pembelian kapal baharu yang lebih canggih dari Perancis. Rusia juga dipengaruhi sentimen nasionalis yang sama dalam menguruskan isu Crimea.

Dalam sejarah panjang Rusia, Kiev, ibu negara Ukraine tercatat sebagai pusat tamadun pertama yang membentuk Rusia seperti yang dikenali hari ini. Sentimen nasionalis Rusia juga melihat Ukraine sebagai sebahagian keluarga rumpun bangsa Slav yang sepatutnya berada dalam Rusia. Sentimen pan-Slavisme ini terus kukuh dalam politik Rusia hingga kini, walaupun realiti geopolitik masa kini menghadkan pelaksanaannya.

Pada 1992, dalam satu perkembangan dramatik sepanjang sejarah pertikaian, penggubal undang-undang Rusia membuat resolusi menyatakan pemindahan kedaulatan Crimea pada 1954 itu tidak berdasarkan undang-undang. Walau bagaimanapun, haluan pro-Barat di bawah Yeltsin tidak membenarkan agenda nasionalistik itu diteruskan. Yeltsin bersikap berhati-hati dalam hal melibatkan hubungan yang berkaitan dengan Barat.

Agenda nasionalistik ini kemudian diteruskan oleh kelompok nasionalis di bawah kepimpinan Vladimir Putin dan Medvedev selepas itu yang memegang jawatan presiden sebelum Putin kembali, kepimpinan yang memilih haluan membina kembali Rusia sebagai satu kuasa dunia. Moscow turut menggunakan taktik yang sama digunakan dalam menangani pengaruh Georgia di Ossetia Selatan, dengan memberikan pasport Rusia kepada penduduk Crimea yang majoriti besarnya berbangsa Rusia dan bercakap dalam bahasa Rusia.

Banci pada 1989 menunjukkan lebih 67 peratus rakyat Crimea berbangsa Rusia, manakala yang berbangsa Ukraine, separuh daripada mereka bertutur dalam bahasa Rusia sebagai bahasa pertama. Realiti budaya ini memudahkan usaha Moskow untuk mengukuhkan pengaruhnya di Crimea, dan juga di sebelah timur Ukraine yang sebahagian besar berbahasa Rusia.

Dalam perang dengan Georgia, Rusia menggunakan alasan mempertahankan rakyatnya di Ossetia Selatan ketika menggerakkan tentera untuk memerangi Georgia. Usaha ini masih dijalankan di Crimea, digandingkan dengan penyebaran sentimen pro-Rusia dan menyokong kumpulan politik yang menuntut pemisahan Crimea daripada Ukraine.

Perbezaan bahasa dan budaya di wilayah itu memberikan gambaran perbezaan yang besar dan merit kepada tuntutan itu. Berdasarkan realiti Laut Hitam yang tertakluk di bawah Konvensyen Montreux, Rusia masih lagi kuasa dominan perairan itu. Konvensyen Montreux menghadkan kehadiran kapal wilayah asing di Laut Hitam.

Konvensyen ini juga memberikan kuasa ke atas Selat Bosporus kepada Turki, menjadikan Turki berkepentingan untuk mematuhi peraturan ini, dan membenarkan Rusia mendominasi Laut Hitam.

Turki sebagai salah sebuah negara serantau yang terlibat di Laut Hitam berkepentingan untuk memastikan Laut Hitam tidak menjadi medan aktiviti negara lain yang bukan daripada wilayah itu. Walaupun kedua-dua pihak mempunyai senjata masing-masing, realiti berhubung bekalan gas yang rangkaian pengangkutan melalui paip masih dimiliki syarikat Rusia, Gazprom, menjadikan Rusia lebih mudah menggunakan senjatanya, dan dengan lebih berkesan.

Pada Januari 2006, Rusia menghentikan bekalan gas kepada Ukraine ekoran pertikaian harga. Rusia meningkatkan harga kepada Ukraine daripada AS$50 kepada AS$180 setiap 1,000 meter padu, tindakan yang ditentang Ukraine. Bekalan kemudian disambung semula selepas Ukraine tunduk kepada tekanan Rusia.

Senjata sumber tenaga ini berkesan kepada Moskow bukan hanya untuk mengubah sikap Kiev, tetapi juga mendedahkan penyelewengan yang didakwa dilakukan Ukraine, menjadikan Ukraine kurang dipercayai negara-negara Eropah yang menerima bekalan gas Rusia. Rusia walau bagaimanapun turut menerima kesan apabila kebolehpercayaannya sebagai pembekal terjejas ekoran tindakan memotong bekalan kepada Ukraine yang merupakan laluan utama pengangkutan gas ke Eropah.

Moscow juga meneruskan usaha menggunakan bekalan tenaganya sebagai senjata dalam menghadapi Ukraine. Putin, selepas persetujuan Medvedev dengan Yanukovych berhubung diskaun gas dan Sevastopol, mencadangkan penggabungan syarikat gas Ukraine, Naftogas Ukrainy dengan monopoli gas Rusia, Gazprom, dan juga industri nuklear kedua-dua negara.

Perjanjian diskaun gas dan lanjutan tempoh menduduki pangkalan Sevastopol masih boleh berubah bergantung kepada rejim yang memerintah dan bentuk kerjasama kedua-dua negara. Isu bekalan gas akan terus menjadi isu besar dalam hubungan kedua-dua negara, antaranya ekoran kedudukan penting Ukraine di laluan eksport ke Eropah.

Tetapi pada masa sama, Ukraine akan terus terpaksa berdepan percaturan politik Moskow disebabkan kedudukan istimewa Ukraine dalam sejarah panjang Rusia dan perkembangan geopolitik hari ini. Sejarah telah menetapkan Ukraine akan sentiasa penting dalam percaturan geopolitik Rusia.

Rusia tidak mahu negara jirannya di barat itu menyertai orbit politik Barat dan menjadi ancaman kepada Rusia. Pangkalan tentera laut Rusia di Sevastopol hanyalah sebahagian daripada agenda melibatkan laut Hitam, semenanjung Crimea dan lebih besar lagi, Ukraine.

Perkembangan terkini melibatkan Rusia dan Ukraine, ekoran tindakan menjatuhkan Yanukovych oleh protes yang disokong Barat, mengundang tindakan lebih keras Rusia di bawah Putin yang kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan membuka pelbagai kemungkinan di Ukraine dan seluruh rantau bekas Soviet. -

No comments