Header Ads

Muhammad Rizalman Ismail Di Ikat Jamin

Muhammad Rizalman Ismail Di Ikat Jamin
Seorang bekas pembantu staf pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang di­ekstradisi balik ke negara itu bagi menghadapi tuduhan cubaan merogol dibenarkan diikat jamin oleh sebuah mahkamah di sini semalam.

Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail dibenarkan ikat jamin selepas peguamnya menafikan tertuduh melarikan diri ke Malaysia di bawah kekebalan diplomatik yang menyebabkan beliau tidak boleh didakwa di negara itu.

Muhammad Rizalman, 38, yang memakai kemeja hitam dilihat tenang di kandang tertuduh ketika proses permohonan ikat jamin tersebut didengar di Mahkamah Daerah Wellington.

Tertuduh bersetuju dengan syarat-syarat ketat ikat jamin tersebut termasuklah diletakkan di bawah perintah berkurung, tidak menghampiri mangsa, menyerahkan pasport dan dikawal oleh dua pegawai tentera Malaysia.

Muhammad Rizalman didakwa mengekori dan cuba merogol seorang wanita berusia 21 tahun, Tania Billingsley pada Mei lalu di kediaman mangsa yang terletak berhampiran Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Tertuduh pulang ke Malaysia selepas pihak berkuasa Malaysia memberitahu bahawa mereka tidak akan mengetepikan kekebalan diplomatik dalam kes tersebut.

Peguam bela Muhammad Rizalman, Donald Stevens memberitahu mahkamah, para pegawai Malaysia dan bukannya tertuduh yang membuat keputusan bagi memohon kekebalan diplomatik tersebut serta mengarahkan lelaki itu pulang ke tanah air.

“Muhammad Rizalman bukan melarikan diri dari negara ini tetapi dia pulang ke Malaysia selepas diarahkan berbuat demikian dan sebagai pegawai tentera dia mesti mematuhi arahan,” katanya.

Mahkamah mengarahkan Muhammad Rizalman hadir semula ke mahkamah pada 21 November ini bagi merayu terhadap dakwaan tersebut yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

No comments