Header Ads

Piala AFF Suzuki 2014-Dollah Salleh Kecewa


KETUA Jurulatih Skuad Bola Sepak Harimau Malaya, Dollah Salleh melahirkan kekecewaannya terhadap kealpaan benteng pertahanan yang menyaksikan pasukan negara tewas 2-1 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, kesilapan pemain pertahanan, Mahalli Jasuli pada separuh masa kedua memberi kesan yang amat besar kepada pasukan negara yang kini berhadapan misi hidup atau mati dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

 "Hari ini, saya anggap persembahan terburuk kami terutama dalam bahagian serangan dan pertahanan. Saya tidak tahu apa yang telah berlaku kepada pemain, tetapi kami masih ada 90 minit di Hanoi dan dalam bola sepak apa pun boleh berlaku," kata Dollah kepada wartawan selepas perlawanan. 


Bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia itu juga terkejut dengan pendekatan serangan pantas Vietnam di bawah bimbingan jurulatih Jepun, Toshiya Miura yang jauh berbeza daripada kekalahan 3-0 pasukan negara dalam perlawanan persahabatan menentang Vietnam sebelum ini.

Dollah juga berkata, tiga pemain lawan, Nguyen Huy Hung, Pham Thanh Luong and Que Ngoc Hai bermain dengan baik pada malam tadi.

"Hari ini mereka (Vietnam) adalah lebih baik berbanding semasa kami tewas kepada mereka sebelum ini dan kami bernasib baik mereka tidak menyumbat lebih banyak gol," katanya.

No comments