Epal Beracun Dari US

Buah epal jenis 'Gala' dan 'Granny Smith' dari Amerika Syarikat (AS) yang disyaki tercemar dengan bakteria Listeriosis akan di­sekat daripada memasuki negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ber­kenaan dibuat selepas pihaknya menerima notis daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS kelmarin tentang pencemaran tersebut yang sehingga kini meng­akibatkan tiga kematian dan ramai yang sakit di negara itu serta Kanada.

“Sekatan kemasukan buah epal yang tercemar itu dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) manakala Kementerian Kesihatan dijangka memberikan arahan serta nasihat tentang tindakan perlu diambil berhubung buah yang sudah memasuki pasaran negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Servis Motosikal Pasca Banjir Parlimen Bera di Kampung Guai di sini hari ini.

Isu berkaitan larangan pengambilan epal jenis berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu, antaranya portal berita yang melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California, melibatkan epal diproses semula yang bersalut 'karamel'.

Ismail Sabri berkata, kementeriannya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menarik semula epal jenis itu yang sudah memasuki pasaran Malaysia kerana melibatkan soal pemakanan dan di bawah Kementerian Kesihatan.

Kata beliau, butiran terperinci berhubung situasi itu termasuk tahap pencemaran bakteria Listeriosis yang menjangkiti epal jenis 'Gala' dan 'Granny Smith' di pasaran tempatan akan ditentukan oleh kementerian berkenaan.

“Epal jenis ini mungkin sudah banyak masuk ke pasaran Malaysia. Perincian termasuk jumlah kera­cunan akan ditentukan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, dua jenis epal dari AS yang dikatakan tercemar dengan bakteria Listeriosis iaitu Gala dan Granny Smith, masih ada di pasaran.

Tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa pasar raya sekitar ibu kota mendapati, dua jenis epal ber­kenaan masih dipamerkan di bahagian buah-buahan dan dijual pada harga antara RM1.50 hingga RM2.20 sebiji.

Menurut salah seorang pekerja pasar raya yang hanya mahu dikenali sebagai Suzliyana, pihak pe­ngurusan syarikat masih belum menerima apa-apa maklumat berhubung penarikan semula penjualan epal tersebut.

“Pelanggan juga ramai yang membeli epal jenis ini kerana harganya murah serta rasanya yang sedap. Tetapi sekiranya epal-epal ini tercemar, saya harap kerajaan bertindak pantas untuk membe­ritahu pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini

Share:

1 comments