Kronologi Kes Kalimah Allah Gereja Katholik


Berikut adalah kronologi kes 'Kalimah ALLAH' yang membawa kepada pendengaran permohonan Gereja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan bahawa penerbitan mingguannya 'The Herald' versi bahasa Melayu, dilarang menggunakan kalimah ALLAH.

16 Febuari 2009: Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, memohon diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, dan telah menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayunya.  

Permohonan itu menuntut tujuh deklarasi lain termasuk hak  berperlembagaan untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam The Herald, bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan ALLAH dalam The Herald dan bahawa pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam penerbitan mingguan itu.

Ia juga menuntut deklarasi bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa perkataan ALLAH bukan eksklusif kepada agama Islam.

31 Disember 2009: Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa The Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan 'ALLAH' kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, katanya.

6 Januari 2010: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh majalah mingguan Katolik, The Herald, berikutan persetujuan KDN dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia bagi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan yang mengeluarkan perintah sebelum ini pada 31 Disember 2009 membuat keputusan itu setelah dipohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

14 Okt 2012:  Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah ALLAH.

Mahkamah itu berpendapat kalimah ALLAH tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian dan dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden (Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) berkeras untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

11 November 2013: Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

5 Mac 2014: Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat keputusan pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya The Herald dilarang menggunakan kalimah ALLAH.

21 Jan--Rayuan Ditolak (Baca artikel penuh DISINI)

Share:

0 comments