Larangan guna kalimah ALLAH dalam Herald kekal


SYUKUR ALHAMDULILLAH!!!!

Majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang daripada menggunakan kalimah 'ALLAH' untuk merujuk kepada Tuhan apabila ia gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan hari ini, untuk Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.
 
Panel lima orang hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak permohonan gereja bagi semakan selepas memutuskan bahawa pihak berkenaan (gereja) gagal memenuhi keperluan minimum bagi semakan yang termaktub dalam Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau bekata, tidak berlaku ketidakadilan dari segi prosedur dalam keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan gereja bagi kebenaran untuk merayu.
   
Abdull Hamid berkata undang-undang kes yang diselesaikan menyatakan bahawa pemohon tidak mempunyai hak untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan kecuali dalam situasi yang jarang-jarang berlaku iaitu kecenderungan untuk bersikap berat sebelah, kegagalan kuorum, penipuan atau berlaku ketidakadilan dalam prosedur.
 
Beliau berkata, rasional di sebalik pendekatan sangat tegas yang dipraktikkan lebih satu kurun lalu di England ialah keputusan harus bersifat muktamad, dan tetap, jika tidak, tidak akan ada akhirnya.
   
Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.
   
Berikutan keputusan itu, usaha pihak gereja menggunakan saluran perundangan bagi menarik balik larangan menggunakan kalimah 'ALLAH' dalam Herald kini berakhir.
   
Gereja Katolik memohon untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lepas yang menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu keputusan Kementerian dalam Negeri melarang menggunakan kalimah 'ALLAH' untuk merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan Herald edisi Bahasa Malaysia.
   
Mahkamah Persekutuan yang mencapai keputusan majoriti 4-3 menolak permohonan Gereja bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan.
   
Pihak gereja memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lepas untuk membawa perkara itu bagi rayuan di mahkamah berkenaan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Herald boleh menggunakan kalimah 'ALLAH'.
   
Mahkamah Rayuan, pada 14 Oktober 2013, membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitannya edisi Bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, tidak sah dan terbatal. 

Share:

0 comments