Header Ads

Riya- Penyakit Yang Bukan Sakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

PENYAKIT YANG BUKAN SAKIT.

CERAH-CERAHKAN :
Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riya' ini, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini mungkin telah lama wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya boleh merebak sehingga mampu 'memakan' diri.

Ulama' mentakrifkan riya' adalah melakukan kebaikan dan amal ibadat matlamat mutlak tidak kepada Allah SWT semata-mata tetapi sebaliknya untuk mencari tempat di dalam hati manusia. Tidak cukup untuk mendapatkan perhatian Allah tetapi ingin juga mendapatkan perhatian manusia.

Di antara jenis-jenis riya' yang ada pada manusia ialah :
1- Riya' Badan.
Iaitu dengan menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2- Riya' Pakaian.
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini untuk kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi sekadar mengharap penghormatan daripada orang lain.
3- Riya' Perkataan.
Seseorang itu menunjukkan dirinya seperti seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang indah dan dalam maknanya, juga kata- kata hikmat beserta hadis. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong dari iman.
4- Riya' Amalan.
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya.
5- Riya' Pengikut.
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama'.

Terdapat beberapa peringkat penyakit riya' ini, antaranya ialah :
1. Riya' Akbar - Ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riya' ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2. Riya' Asghar - Ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riya' ini adalah lebih ringan daripada Riya' Akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

Sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit yang tidak sakit tetapi menyakitkan ini ialah :
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain dan menganggap dirinya sahaja yang hebat.

2 comments

Jie Susanos said...

penkongsian yg bgus ttg riya ni hanif..

hainom OKje said...

Salam Hanif Idrus...lama sungguh Okje tak singgah sini....
Kalau riya' yang main main macamana yek..... Saja suka suka cakap riyak deang kengkawan rapat? Itu kira riyak jugak tak agaknya