Header Ads

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Takkan Minta Maaf

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  Takkan Minta Maaf

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak akan menarik semula atau meminta maaf berhubung kenyataannya kepada peniaga Cina yang tidak menurunkan semula harga barang walaupun harga minyak telah turun.

Katanya, kenyataan berkenaan merujuk kepada mereka yang tidak menurunkan harga barang, bukannya peniaga Cina secara keseluruhannya.

"Jika ada orang tanya saya hendak tarik semula atau mohon maaf, jawapannya saya tidak akan tarik balik.

"Saya bercakap mengikut kuasa pengguna, jadi tiada keperluan untuk saya tarik atau minta maaf atas kenyataan itu," katanya pada sidang media solidariti terhadap dirinya, di Riverside Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Terdahulu, Ismail Sabri memberi penjelasan di laman sosial Facebook miliknya berhubung status berkaitan boikot peniaga Cina yang kemudiannya menjadi viral di media sosial.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataannya itu.

"Saya belum beri keterangan lagi. Polis hanya jalankan tanggungjawabnya, jadi saya akan beri kerjasama.

"Tarikhnya akan ditetapkan kemudian. Tunggu waktu yang sesuai dan saya akan beri kenyataan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau tiada masalah dengan kepimpinan MCA sebaliknya parti itu membuat kenyataan yang menyerang dirinya.

"Saya tidak jawab pun kenyataan itu.

"Dalam BN, kita ada prinsip. Kalau ada masalah kita berbincang sesama sendiri. Bukan menyerang sebegini," katanya.

No comments