Tarif Elektrik Turun 1 Mac 2015

Setelah berlaku penurunan dalam harga minyak di pasaran dunia, impian rakyat Malaysia untuk mengurangkan beban kos harian terutamanya harga barangan mungkin dapat dirasai dengan pengumuman penurunan tarif elektrik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) petang tadi.

Dalam kenyataan ringkas yang turut disiarkan melalui Twitter rasmi Tenaga Nasional Berhad (YNB), pengurangan tarif adalah sebanyak 2.25 sen per jam kilowatt (kwh).

Bermula 1 Mac sehingga 30 Jun 2015, tarif baharu tersebut akan berkurangan daripada 38.53 sen kepada 36.28 sen.

Sementara itu di Sabah dan Labuan, penurunan tarif tersebut adalah sebanyak 1.20 sen/kWh.Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan bahawa Kabinet pada Rabu telah memutuskan penurunan tarif elektrik pada kadar 2.25 sen/kwj bagi pengguna di Semenanjung Malaysia 1 Mac-30 Jun 2015 berdasarkan semakan pelepasan kos bahan api dan penjanaan (ICPT).

Pengguna domestik bakal nikmati pengurangan bil elektrik dalam lingkungan RM13.50 sehingga RM45 dalam bil bulanan dengan penjimatan ICPT.

Minggu lalu, pelbagai pihak yang menggesa pihak TNB agar segera menurunkan kadar tarif elektrik memandangkan selama ini nilai kos tenaga tersebut banyak dipengaruhi oleh harga minyak dunia.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) melalui Presidennya, Datuk Lim Kok Cheong, berkata bahawa elektrik merupakan salah satu daripada komponen utama dalam perniagaan tempatan dan pelabur luar negara, dan sebarang penurunan tarif mampu membantu melaras semula kos operasi yang saban tahun telah meningkat.

Share:

0 comments