Keputusan SPM 2014 Keseluruhan Menurun - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Keputusan SPM 2014 Keseluruhan Menurun


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada keseluruhannya menurun, namun ia masih mengikut trend dan tidak jauh berbeza daripada keputusan pada tiga tahun sebelum 2013.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut boleh dianggap sebagai keputusan yang memuaskan kerana calon mampu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan baik walaupun peratusan soalan sedemikian telah meningkat.

"Kaedah penyoalan ini mungkin antara faktor yang memberi kesan terhadap prestasi calon. Selain daripada itu, beberapa faktor lain yang mungkin menyumbang kepada turun naik keputusan peperiksaan akan dikaji dengan lebih mendalam.

"Bagaimanapun, keputusan pada tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar telah mengecil berbanding pada tahun 2013," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Keputusan peperiksaan tersebut diumumkan hari ini dengan sebanyak 11,289 daripada 455,839 calon atau 2.62 peratus memperoleh keputusan cemerlang.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon yang telah berjaya dengan cemerlang, Muhyiddin berkata, pengumuman analisis keputusan peperiksaan itu menunjukkan pencapaian akademik pelajar yang telah melalui pendidikan menengah atas dan menduduki peperiksaan di peringkat persijilan.

"Semoga mereka meneruskan budaya kecemerlangan ini dalam kehidupan mereka dan dalam apa jua bidang yang akan diceburi. Kepada calon yang kurang berjaya pula, anggaplah itu sebagai satu cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan yang lain pada masa akan datang," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon berkeperluan khas (CBK) kerana mencatat peningkatan yang amat membanggakan.

Menurutnya, kejayaan mereka menunjukkan bahawa semua calon berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Muhyiddin berkata, kementerian sentiasa meneroka pendekatan pedagogi terkini bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

"Antaranya, ialah membina kemahiran berfikir dalam kalangan murid dengan mempergiatkan pelbagai program pembelajaran dan melaksanakan Kurikulum Berasaskan Standard.

"KBAT adalah merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid sebagai persediaan untuk menjadi global citizen atau warga global. Antara KBAT yang perlu dikuasai oleh murid ialah penaakulan matematik, interpretasi bahasa, membuat inferens, penaakulan saintifik dan penyelesaian masalah dan kemahiran ini diukur dalam peperiksaan SPM 2014," kata Muhyiddin.

Beliau menjelaskan, selain daripada itu, kementerian sedang giat berusaha untuk memperhebatkan sokongan kepada guru dan pentadbir sekolah.

Ini termasuk memperkenalkan program pembimbing guru dan pembimbing pengetua atau guru besar sepenuh masa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Pembimbing ini dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai mentor dan membina hubungan yang kukuh dengan guru dan pengetua atau guru besar.

"Pemimpin yang berwibawa juga adalah merupakan faktor yang menyumbang kepada prestasi murid, oleh itu KPM akan mengorak langkah mengukuhkan kualiti kepimpinan di JPN dan PPD," katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian bertekad meningkatkan kualiti kemenjadian murid selaras dengan aspirasi meletakkan Malaysia dalam kelompok sistem pendidikan sepertiga teratas di dunia dan ia bermula dengan kualiti peperiksaan awam negara ini.

Katanya, kementerian akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai program intervensi yang sesuai untuk meningkatkan kecemerlangan pencapaian murid-murid dalam pelbagai aspek termasuklah dalam peperiksaan SPM.

"Ini adalah penting bagi mencapai enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan melahirkan modal insan yang holistik seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

"Selain daripada itu, kementerian akan melaksanakan kajian bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi dan keputusan murid supaya tindakan susulan yang bertepatan dapat dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian juga akan memastikan program yang efektif dan bermakna bagi pembelajaran murid khususnya bagi mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dilaksanakan dengan lebih teliti dan penuh tanggungjawab

No comments: