Mahathir Tolak GST - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Mahathir Tolak GST

Rakyat patut menggesa kerajaan untuk tidak mengenakan cukai tambahan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika mereka berpendapat ia akan hanya menambahkan beban.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebarang cukai tambahan akan menyebabkan harga barang naik, termasuk kos ubat dan rawatan kesihatan.

Mahathir Tolak GST

“Saya rasa rakyat perlu beri maklum balas. Mereka boleh beritahu, jika kerajaan kenakan lebih banyak cukai, mereka tidak akan undi kerajaan itu lagi pada masa depan,” katanya, mengulas isu kos perubatan dan penjagaan kesihatan yang dikhuatiri meningkat selepas GST dilaksanakan, 1 April ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Perdana University dan University of California, San Diego di sini, semalam.

Selain itu, Dr Mahathir yang merupakan Canselor Perdana University juga tidak bersetuju dengan cadangan pengasingan pendispensan ubat (DS) yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah menjadi doktor di klinik swasta, sistem yang diguna pakai sekarang iaitu doktor sendiri memberikan ubat kepada pesakit perlu dikekalkan kerana selain lebih murah, ia juga memudahkan pesakit.

“Orang sakit ini tak ikut masa. Tetapi farmasi kerja tempoh tertentu sahaja jadi kalau kita suruh dapatkan ubat daripada dispensari kadang-kadang susah sikit lah, menjadi masalah kepada pesakit. Saya dulu pun bawa beg dengan ubat, kalau ada sakit bagi (ubat) serta-merta,” katanya.

Sebelum itu, Dr Mahathir dalam ucapannya di majlis itu mendedahkan bagaimana kemajuan dalam dunia perubatan menyebabkan beliau sendiri hilang kelayakan untuk menjadi seorang doktor.

“(Pihak berkuasa) tarik balik sijil saya sebab sejak 40 tahun lalu saya sudah tidak amalkan perubatan dan mereka rasa saya tidak tahu banyak perubatan moden.

“Tetapi saya mengikuti perkembangan dunia perubatan dan telah mendapat manfaat daripada kemajuan bidang penjagaan kesihatan,” katanya di hadapan 100 pelajar perubatan Perdana University yang baharu menamatkan pengajian praklinikal dalam sains perubatan dan kesihatan.

Dr Mahathir yang menyampaikan ucapan bertajuk Pendidikan Penjagaan Kesihatan: Dulu, Kini dan Masa Depan turut berkongsi cerita semasa beliau menjadi pelajar perubatan pada 1950-an bagi mengingatkan pelajar universiti supaya menumpukan kepada pengajian.

Beliau turut menekankan kepentingan mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan rakyat menguasai bidang perubatan.

1 comment:

Ismail N said...

As always, pandangan Tun sentiasa punyai asas dan perlu dipertimbangakan oleh semua pihak.