Header Ads

Kenyataan Stacy Setelah Memeluk Islam

YA, saya kini secara rasminya penganut Islam,” ungkap Stacy ringkas sewaktu memulakan bicara pada sidang akhbar khas yang berlangsung di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Tampil sederhana tetapi kelihatan yakin sewaktu bertemu media, Stacy banyak tersenyum, sementelah berita yang ingin dikongsi merupakan khabar gembira.

Namun, dalam rasa bahagianya itu, terselit gentar kerana masih belum terbiasa dengan keadaan baharu. Stacy kini rasmi memeluk agama Islam dan memilih nama indah Ummu Shaikhah Stacy Anam sebagai pengenalan diri baharu.

Ironi, Stacy tidak melakukan sebarang kesalahan. Namun, atas rasa tanggungjawab dan matang dengan kehidupan, sidang akhbar tersebut diadakan bertujuan untuk menjernihkan keadaan selepas gambar dan video yang dikatakan sebagai Stacy sedang mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang wanita menjadi viral di internet petang Isnin lalu.

Diapit oleh ibu bapanya, Agnes Kaloos dan Anam Bayar, Stacy dengan tenang berkongsi kisah pengislamannya itu, kurang 48 jam selepas bergelar saudara baharu.

“Sebenarnya, sejak kecil lagi saya merupakan seorang yang tiada pegangan agama. Saya mula mengenali agama sekitar tiga tahun lalu, sewaktu tercari-cari apakah yang dimahukan dalam hidup. Ketika itu, saya memilih untuk menganut agama Kristian kerana ia merupakan agama ibu dan bapa saya.

“Namun, pada masa yang sama, saya masih berfikiran terbuka. Jadi, terdetik niat ingin mendalami ajaran Islam. Pada masa yang sama, ada dalam kalangan ahli keluarga saya turut beragama Islam. Jadi, perasaan ingin mendalami agama suci itu semakin menebal dari hari ke hari,” ujarnya.

Sebagai seorang saudara baharu, Stacy mengakui, masih lagi kosong apabila diajak untuk berbicara tentang agama Islam.

Walaupun hatinya mahu mendalami ilmu Islam sewaktu masih seorang penganut Kristian, namun dia memilih untuk berbuat demikian selepas selamat melafazkan dua kalimah syahadah.

“Memang saya mahu mendalami Islam ketika sedang beragama Kristian. Namun, saya matikan hasrat tersebut bagi menghormati anutan saya ketika itu.

“Kini, saya sedang belajar dan memperbanyakkan ilmu tentang Islam supaya senang untuk menjalani hidup sebagai seorang Muslimah,” katanya.

Stacy, 25, melafazkan dua kalimah syahadah pada hari Isnin lalu sekitar pukul 10 pagi di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Johor Bahru.

Selain ibu dan bapanya, proses pengislaman Stacy turut disaksikan oleh ibu dan bapa kekasihnya, penyanyi Akim.

Menurut Stacy, dia berasa bertuah kerana dikurniakan ibu dan bapa yang sangat memahami pilihan anaknya.

“Saya bahagia kerana mempunyai ibu dan bapa yang sangat memahami pilihan saya. Mereka sama sekali tidak melarang keputusan saya untuk memeluk Islam. Malah, sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap keputusan yang saya lakukan.

“Walaupun nama dan agama sudah berubah, saya masih lagi anak kepada ibu dan ayah saya,” jelasnya.

Bukan sebab Akim

Mengulas lanjut mengenai keinginannya untuk bergelar Muslimah, Stacy menegaskan, tekadnya untuk mengenal Islam lahir daripada dirinya sendiri, tanpa dipengaruhi oleh individu lain.

“Sebelum ini, ramai yang beranggapan saya mahu memeluk Islam kerana sedang berkawan rapat dengan Akim.

“Memang saya berkawan rapat dengan Akim dan dia banyak mendorong saya untuk belajar tentang Islam. Namun, keputusan untuk mendalami Islam bukan disebabkan dia. Jika saya memeluk Islam kerana ingin berkahwin, lebih baik saya berbuat demikian beberapa hari sebelum saya mendirikan rumah tangga,” jelas Stacy lagi.

Menurut Stacy, banyak perkara tentang Islam perlu dipelajari, lebih-lebih lagi soal mengerjakan ibadah.

“Saya orang baharu dalam Islam. Banyak perkara yang perlu saya belajar untuk betul-betul memahami ajaran agama.

“Jadi, saya bercadang untuk mendapatkan khidmat seorang ustazah bagi mendidik dan menjelaskan hukum-hakam Islam khususnya berkenaan ibadah,” katanya.

Petang Isnin lalu, berita mengenai pengislaman Stacy heboh diperkatakan oleh pengguna laman sosial di internet.

Walaupun tuan empunya diri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan penghijrahannya itu, sebilangan peminat mula membuat andaian dan kritikan mengenai sekeping gambar wanita bertudung yang dikatakan mirip wajah Stacy.

Tidak sampai 24 jam gambar dan dakwaan yang mengatakan Stacy telah memeluk Islam tersebar, video yang menunjukkan dia sedang mempelajari cara menyebut dua kalimah syahadah dimuat naik oleh pengguna internet.

Melahirkan rasa kecewa, Stacy berkata, dia tidak menyangka kisah penghijrahannya itu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat.

“Sejujurnya, saya belum bersedia untuk memberitahu tentang pengislaman ini kepada umum. Saya tidak mahu perkhabaran ini dilihat tergesa-gesa lalu mengejutkan banyak pihak.

“Banyak hati yang perlu saya jaga termasuk ahli keluarga yang beragama Kristian. Ada antara adik-beradik saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini.

“Namun, selepas melihat gambar dan video yang dirakam secara curi tersebar di internet, saya menjadi keliru sehingga tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

“Jadi, saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri sehingga diberi peluang untuk mengesahkan perkara berkenaan dalam sidang akhbar hari ini,” katanya.

Kongsi Stacy lagi, dia berasa tertekan sehingga menitiskan air mata sewaktu melihat peminat mula berdebat mengenai pengislamannya di alam maya.

“Sepatutnya saya berasa gembira dan teruja saat bergelar saudara baharu. Namun, saya tidak dapat menahan rasa sedih lebih-lebih lagi apabila melihat orang membuat andaian sendiri menerusi gambar dan video yang tersebar.

“Saya anggap proses itu sebagai satu perkara yang suci dan ia sepatutnya dijalankan secara tertutup dan tidak perlu dihebahkan,” ujar Stacy yang menyifatkan penyebaran tentang kisah pengislamannya sebagai pencerobohan peribadi.

Begitupun, Stacy tidak menyimpan sebarang dendam di hati dan sedia memaafkan penyebar gambar dan video berkenaan secara ikhlas.

“Sebagai saudara baharu, saya sudah memaafkan mereka. Biarlah saya anggap ini sebagai dugaan.

“Cuma apa yang saya harapkan, perkara ini tidak berulang kembali. Ia sedikit sebanyak membantutkan niat penganut agama lain yang mahu mendekati ajaran Islam,” ujar Stacy sambil memberitahu bakal menyerahkan kepada pihak pengurusan jika mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Melanjutkan bicara mengenai penampilan dan kerjaya nyanyian, Stacy berkata, pengislamannya tidak menghalang untuk dia meneruskan karier sebagai seorang penghibur.

Pada sama yang sama, sebagai saudara baharu, Stacy tidak berjanji bahawa penghijrahan agamanya itu akan disertai dengan perubahan imej yang mendadak secara serta-merta.

Namun, katanya yang sedar kehidupan Islam mempunyai garis panduan yang tidak membebankan umatnya, Stacy berharap dia mampu hidup dalam lingkaran yang baik.

Bagaimanapun, kongsi Stacy, dia mungkin akan mengubah jalur muziknya sejajar dengan perubahannya itu.

“Kerjaya nyanyian saya masih berjalan seperti biasa. Namun, saya dan pihak pengurusan telah berbincang untuk mengubah haluan muzik saya kelak.

“Sesuai dengan penghijrahan, saya juga mahu muzik yang bakal saya bawakan menepati usia yang semakin meningkat,” katanya.


No comments