Header Ads

PENJELASAN ISU HIMPUNAN DAN RUSUHAN DI PETALING STREET PADA SABTU (26/09/2015)

KENYATAAN AKHBAR
PENJELASAN ISU KEMUNGKINAN HIMPUNAN DAN RUSUHAN DI PETALING STREET PADA SABTU (26/09/2015)

Saya ingin membuat sedikit penjelasan dan pencerahan berkenaan kenyataan saya tempoh hari berkaitan dengan isu kemungkinan akan ada himpunan dan berlaku rusuhan di Petaling Street pada Sabtu 26/09/2015.

Saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan saya tersebut bukanlah dengan niat untuk memberi ancaman atau ketakutan kepada orang awam seperti yang dilaporkan dan disensasikan oleh media terutama media alternatif. Saya hanya ingin menyatakan kegusaran saya sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa terutama KPDNKK ke atas aduan dan ketidakpuasan hati kumpulan yang berhimpun di Petaling Street pada 16/09/2015 yang lepas.

Pada 16/09/2015 yang lepas, saya telah diminta oleh pihak polis untuk membantu menyuraikan sekumpulan peserta yang berhimpun di kawasan Petaling Street. Ketika proses penyuraian dan perbincangan tersebut, saya telah menjadi orang tengah di mana pihak yang berhimpun tersebut telah menyatakan tiga (3) tuntutan untuk diambil perhatian oleh pihak berkuasa terutamanya KPDNKK.

Saya sedikit kecewa dengan laporan-laporan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh media terutama media alternatif berkenaan kenyataan saya ketika sidang media di IPD Ampang Jaya pada 23/09/2015 yang lepas. Tujuan sidang media tersebut adalah untuk memberi penjelasan dan penafian tentang fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas diri saya serta untuk memberitahu kepada umum bahawa saya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang ke atas pemfitnah-pemfitnah ini melalui peguam-peguam saya.

Kenyataan-kenyataan yang dilaporkan dan disensasikan oleh media-media ini tidak menggambarkan secara tepat apa yang saya jelaskan berkenaan kemungkinan berlaku himpunan pada Sabtu 26/09/2015. Mereka hanya menyiarkan bahagian-bahagian tertentu tanpa mengambil kira secara keseluruhan apa yang saya telah nyatakan dalam sidang media tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan dikalangan pembaca dan boleh disalah tafsirkan oleh umum. Oleh itu, saya meminta agar pihak media menyiarkan dan melaporkan kenyataan yang tepat secara menyeluruh agar tidak berlaku kekeliruan dan kecelaruan.

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan rancangan himpunan tersebut. Apa yang saya nyatakan tempoh hari hanyalah kebimbangan dan kegusaran saya atas kemungkinan terjadi rusuhan jika himpunan tersebut benar-benar berlaku.

YBHG. DATO' JAMAL MD YUNOS
Pengerusi Gabungan NGO Melayu

No comments