Sekolah Boleh Ditutup Jika Jerebu IPU Cecah 200

Sekolah Boleh Ditutup Jika Jerebu IPU Cecah 200
Acara tahunan Malaysia ialah acara Jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesa untuk Pertanian. Entah bila nak pulih aku pun tak tahu.

Kementerian Pendidikan telah menghantar surat pekeliling bagi memberi kebenaran kepada guru besar membuat keputusan menutup sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.

Timbalan Menterinya, P. Kamalanathan juga mengingatkan pelajar terutama yang mempunyai risiko kesihatan yang tinggi supaya tidak menyertai aktiviti kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah jika bacaan IPU melebihi 100.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Bahasa Inggeris di Dewan INTEC, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata kementeriannya telah menerima cadangan supaya mempertimbangkan usaha memperkenalkan penilaian lisan bahasa Inggeris untuk murid Tahun Lima di sekolah rendah.

Beliau berkata penting bagi kementerian menilai kefasihan murid bertutur dalam bahasa Inggeris selain membantu guru-guru menilai kefahaman bahasa murid mereka pada peringkat awal.

"Pada masa ini, enam tahun pertama peringkat sekolah rendah tidak ada penilaian terhadap keupayaan murid bertutur bahasa Inggeris kecuali melalui peperiksaan bertulis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Sebab itu ada cadangan supaya kementerian boleh memberi pertimbangan mengadakan penilaian lisan bahasa Inggeris untuk murid Tahun Lima," katanya.

Bagaimanapun, katanya cadangan penilaian lisan itu tidak berorientasikan peperiksaan dan menambah beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan input berhubung cadangan itu.

Share:

0 comments