"Kurang Bijak Dan Kejahilan Tiada Ubatnya " Untuk FAM - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

"Kurang Bijak Dan Kejahilan Tiada Ubatnya " Untuk FAM

"Kurang Bijak Dan Kejahilan Tiada Ubatnya " Untuk FAM

TENGKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil memohon maaf  kepada keluarga bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan penyokong bola sepak negara kerana tidak berjaya memperjuangkan 'nasib mereka'.

Tunku Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan TMJ berkata, beliau akhirnya terpaksa akur dan memohon maaf kerana usahanya memperjuangkan nasib bola sepak negara ‎tidak berjaya dek kerana sikap sesetengah pihak yang hanya pandai mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.

"Baru-baru ini saya telah membuat pendedahan bagaimana FAM telah membolot hak pasukan-pasukan yang bertanding.

"Di liga-liga bola sepak yang maju, 90-95 peratus hasil penyiaran disalurkan kepada kelab-kelab, manakala di sini pula, kita hanya menerima 22 peratus sahaja.

"Saya hanya memperjuangkan hak setiap kelab. Sesebuah kelab perlu membayar gaji pemain dan staf, pengangkutan, penginapan, infrastruktur bola sepak, dan kita hanya menerima RM1 juta, sedangkan FAM pula menerima RM50 juta, dan itu saya tidak bersetuju. Tidak mengapalah, saya hanya ingin membantu. Bola sepak bukan periuk nasi saya," katanya menerusi akaun rasmi Facebook Johor Southern Tiger.

Mengulas lanjut, TMJ berkata, setelah meneliti maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pasukan-pasukan lain dan sesetengah penyokong bola sepak Malaysia, beliau menyedari gambaran sebenar dan apa keutamaannya.

"Saya telah melakukan kesilapan dengan cuba mendidik mereka yang terlibat dalam sukan bola sepak seperti persatuan-persatuan negeri, kelab dan penyokong, dan saya mengakui kesilapan saya.

"Sekarang saya sedar mengapa ayahanda saya pernah berpesan, "kurang bijak dan kejahilan tiada ubatnya." Niat saya hanyalah untuk memartabatkan bola sepak Malaysia dengan memerangi korupsi," katanya.

Ujarnya lagi amat mendukacitakan korupsi seolah-olah sudah menjadi budaya di negara ini.

"Saya dapat melihat bagaimana sesetengah orang amat tamakkan duit dan tidak menghiraukan pembangunan bola sepak. Oleh itu, saya telah membuat keputusan terbaik, iaitu untuk mengutamakan hal saya sendiri dan tidak mengadakan mesyuarat dengan pihak FAM ataupun kelab lain," katanya.

Dalam pada itu, TMJ menyeru pihak FAM untuk mengagihkan hasil penyiaran JDT kepada pasukan-pasukan yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan untuk musim hadapan, ataupun kepada pasukan-pasukan yang baru layak ke Liga Super.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada para penyokong JDT bahawa JDT akan mengembangkan belanjawan kelab kepada RM150-200 juta menjelang 2017-2018," katanya

No comments: