Giliran Kelantan Haramkan Vape - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Giliran Kelantan Haramkan Vape

Giliran Kelantan Haramkan Vape

Kerajaan Pas Kelantan membuat keputusan muktamad mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di ne­geri ini berkuat kuasa 1 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, serentak dengan itu, pihaknya juga telah mengeluar­kan notis selama 14 hari kepada peniaga vape supaya menghentikan perniagaan dan mengosongkan premis masing-masing bermula hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terma­suk menyita premis tersebut sekiranya peniaga masih berdegil.

“Kita akan mengambil tindakan jika mendapati masih ada peniaga yang ingkar dan terus menjual barangan vape selepas 1 Januari ini,” kata­nya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung penjualan vape, di sini hari ini.

Pada 2 Disember lalu, kerajaan negeri memutuskan untuk menggantung penjualan vape di negeri ini buat sementara waktu sehingga keputusan kajian dibuat diperoleh dan dibincangkan dalam mes­yuarat yang diadakan hari ini.


Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya penggunaan semua produk vape diharam­kan di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi tanpa alasan.

Bagaimanapun setakat ini, beberapa negeri termasuk kerajaan PKR Selangor, kerajaan negeri Kedah, Perlis dan Melaka memutuskan untuk tidak mengikut langkah Johor mengharamkan penggunaan semua produk vape di negeri itu bermula tahun depan.

Semalam, seorang peniaga vape menjadi individu pertama di negeri ini yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menjual cecair vape mengandungi nikotin melebihi had dibenarkan.
Abdul Fattah berkata, keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen penjualan vape itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Mufti negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Giliran Kelantan Haramkan Vape
“Kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati berhubung isu ini (vape),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status penggunaan vape di negeri ini, beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri masih belum membuat keputusan mengenainya dan masih dalam proses kajian.
Dalam pada itu, ketika menyentuh isu penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin, Abdul Fattah berkata, perkara itu jelas adalah satu kesalahan.

“Perkara ini terkandung di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. 

No comments: