Dato Vida Mahu KAFA Penuhi 2 Syaratnya

Dato Vida Mahu KAFA Penuhi 2 Syaratnya
Jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) enggan mengikut dua syarat yang telah ditetapkan, Vida Beauty Sdn Bhd mahu menaja Selangor.

1- Stadium Sultan Muhammad IV perlu dicat semula dengan warna merah jambu.

2- Pasukan Kelantan perlu dinamakan semula sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) seperti pasukan Negeri Sembilan yang telah dijenamakan semula sebagai NS Matrix.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida berkata setakat ini tiada persetujuan rasmi dibuat oleh KAFA, lapor Utusan Online, seperti yang dipetik Astro ARENA.

"Secara lisan mereka setuju namun kalau KAFA tidak mahu ikut syarat saya, saya pergi taja Selangor," beliau dipetik sebagai berkata.

Ketika ini Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sedang menunaikan umrah dan dijangka membuat sebarang pengumuman mengenai penajaan itu sebaik pulang.

Difahamkan, Datuk Seri Vida memilih Kelantan kerana berpendapat mereka sebuah pasukan hebat.

Sementara itu, pemain sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akui tidak kisah dengan dua syarat dikenakan pengasas produk Qu Puteh Datuk Seri Vida untuk menaja pasukan pantai timur itu.

Wan Zaharulnizam atau Kecik menjelaskan warna merah jambu atau warna apa sekalipun tidak akan memberi kesan kepada prestasi sesebuah pasukan.

Kecik melihat tajaan Datuk Sri Vida itu mampu mengubah nasib Kelantan yang ketika ini berdepan krisis kewangan.

Pemain berusia 25 tahun itu mahu penyokong melihat perkara ini dari pandangan yang lebih luas dan jangan hanya menjadikan soal nama pasukan dan warna stadium sebagai satu isu sebaliknya memandang perkara ini sebagai salah satu cara meningkatkan mutu permainan bola sepak Kelantan.

"Kita pakai apa saja nama pasukan, jika penyokong dapat memberi sokongan sudah pasti Kelantan akan meraih kemenangan," jelasnya.

Sebelum ini, Vida menyatakan kesudian menaja pasukan The Red Warrior dengan dua syarat iaitu mahu agar Stadium Sultan Muhammad IV dicat semula dengan warna kegemaran Vida iaitu merah jambu.

Syarat kedua pula adalah menamakan semula pasukan Kelantan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) seperti pasukan Negeri Sembilan yang telah dijenamakan semula sebagai NS Matrix.

Share:

0 comments