Kolam Ais Untuk Pink Warrior


Pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bakal memiliki gimnasium yang dilengkapi kemudahan kolam ais  seperti dimiliki pasukan terkemuka dunia, dalam tempoh lebih sebulan dari sekarang.

Kemudahan itu akan disediakan penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di tingkat tiga Wisma Vida Beauty di Kubur Langgar, di sini, memandangkan ruang di Stadium Sultan Muhammad IV agak terhad.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, kolam renang itu adalah satu kaedah pemulihan menggunakan ais yang sangat penting untuk pemain merawat badan terutamanya selepas perlawanan dan latihan.

"Saya difahamkan pemain sebelum ini perlu mencari alternatif sendiri untuk berenang dalam ais dengan membeli kolam renang plastik kanak-kanak. "Jadi, saya akan menyediakan kolam itu di bangunan saya sendiri supaya pemain tidak lagi bersusah payah ke tempat lain kerana semua kemudahan di Wisma Vida Beauty sudah disediakan.

"Apa yang kita mahukan adalah kemudahan pemain untuk menjalani latihan fizikal di dalam gimnasium yang serba lengkap supaya mereka lebih cergas dan dapat beraksi dengan cemerlang.

"Selain gimnasium, bangunan itu juga akan dilengkapi dengan kafe, tempat pemain berehat dan bilik mesyuarat, jakuzi, sauna dan kolam renang, termasuk tempat menjual tiket.

"Kerja pengubahsuaian bangunan itu akan bermula minggu depan mengikut reka bentuk saya sendiri," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Ab Fattah Mahmood, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Vida berkata, Wisma Vida Beauty setinggi tiga tingkat itu sudah terbengkalai sejak tiga tahun lalu dan akan berubah wajah sepenuhnya selepas dicat dengan warna asas Qu Puteh iaitu merah jambu dan putih.

Share:

0 comments