Faiz Subri Calon `Puskas Award' 2016?

Faiz Subri Calon  `Puskas Award' 2016?
Peminat bola sepak dunia mula memperkatakan jaringan unik Mohd Faiz Subri sehinggakan ada yang mencadangkannya dicalonkan untuk anugerah berprestij, Puskas Award.

Malah, portal berita sukan The Independent yang berpangkalan di United Kingdom turut membuat undian di kalangan netizen mengenai jaringan Faiz dan legenda Brazil, Roberto Carlos.

Sehingga artikel ini ditulis, 80 peratus daripada 3,483 pengundi bersetuju untuk anugerah jaringan terbaik sepanjang tahun itu diberikan kepada Mohd Faiz, pemain tengah Pulau Pinang yang berasal dari Air Itam, Kedah.

Menurut portal itu, lencongan bola Mohd Faiz bukan sahaja membingungkan penjaga gawang, tetapi juga melawan hukum fizik.

"Bola hasil rembatan kencang pemain tengah itu pada asalnya menuju ke satu arah, tetapi kemudiannya melencong dan menerjah ke penjuru atas gawang," kata portal itu dalam artikel bertajuk `Outrageous free-kick scored in Malaysian Super League an early contender for 2016 Puskas Award’.

Jaringan cantik itu juga dikatakan belum pernah dihasilkan oleh mana-mana pemain sejak kali terakhir dilakukan Roberto Carlos dalam perlawanan antara Brazil dan Perancis di Tournoi de France pada 1997.

Puskas Award dianugerahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada masa yang sama dengan penganugerahan FIFA Ballon d'Or, iaitu anugerah individu paling berprestij dalam dunia bola sepak.

Jika Mohd Faiz menang, dia mengetepikan penyandang tahun lalu, Lionel Messi yang membuat jaringan ketika membantu Barcelona menang ke atas Athletic Bilbao, 3-1 dalam aksi final Copa del Rey.

Laman web luar negara iaitu mirror.co.uk pula berkata, jika memperkatakan mengenai rembatan Roberto Carlos, semua orang pasti teringatkan 'banana free-kick' yang dilakukannya 19 tahun lalu.

Namun sejarah unik bola sepak itu disifatkan tidak lagi unik, selepas jaringan Mohd Faiz mula diperkatakan.

Laman berkenaan kemudiannya meninggalkan pembaca dengan video sepakan percuma itu dengan ayat.

"Bukan garisan gol atau yang seumpamanya yang menjadi perhatian. Saksikan klip berkenaan... dan bersedia untuk percaya bahawa hukum fizik telah berubah selama-lamanya," kata laman berkenaan.

Artikel bertajuk `Puskas Award winner 2016? Watch the Malaysian free-kick so bendy it defies laws of physics’ itu telah dikongsi 17,097.




Share:

0 comments