Kalijodo Kawasan Maksiat Tertua Dirobohkan.


Antara kawasan maksiat tertua Indonesia dirobohkan hari ini dalam operasi yang dipantau ratusan anggota polis dan tentera. Pihak berkuasa Indonesia meneruskan rancangan menutup semua rumah pelacuran di negara yang paling ramai umat Islam itu.

Berpuluh kelab malam dan rumah pelacuran haram di sepanjang tebing sungai tercemar di utara Jakarta, dikenali dalam kalangan rakyat tempatan sebagai Kalijodo, diranapkan jengkaut.


Bar di kawasan itu, kebanyakan dihiasi dengan lampu neon dan lukisan wanita cantik menggoda lelaki, dirobohkan dalam masa beberapa minit, meninggalkan cuma kayu, bata dan tilam usang.

Di tempat lain, polis menggeledah hotel tiga bintang untuk mencari saki-baki penduduk sebelum keseluruhan struktur di kawasan itu dirobohkan.


Datuk Bandar Jakarta Utara, Rustam Effendi, yang memantau operasi itu, berkata bangunan berkenaan didirikan secara haram dan pemusnahan itu membuka jalan bagi pembinaan taman awam.

"Aktiviti pelacuran dijalankan secara terbuka di sini dan pelbagai amalan buruk lain, seperti arak," katanya.

Share:

0 comments