Ceramah Dr Zakir Naik Di Besut Himpun 30 Ribu Hadirin


Ahmad Razif mengiringi Dr Zakir di samping ribuan hadirin di Dataran SM Imtiaz Besut malam kelmarin.
KAMPUNG RAJA - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut, di sini, mencatat sejarah apabila berjaya menghimpun lebih 30,000 hadirin di pekarangan sekolah itu pada malam kelmarin untuk menyaksikan ceramah daripada tokoh Maal Hijrah 2013, Dr Zakir Naik.

Orang ramai tanpa mengira fahaman politik termasuk juga dari kalangan bukan Islam dan dari Kelantan tiba seawal jam 6 petang di pekarangan sekolah itu semata-mata mahu mendengar dan menyaksikan sendiri ceramah disampaikan Dr Zakir.

Dr Zakir yang kini menjayakan siri jelajah di Terengganu mula menyampaikan ceramahnya bertajuk 'Does God Exist' atau 'Adakah Tuhan Wujud' pada jam 9.30 malam sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab dan program berakhir pada kira-kira jam 12.30 pagi.

Fakta kukuh

Menyentuh mengenai ceramah disampaikan, Dr Zakir banyak mengupas mengenai kewujudan Tuhan memberi contoh ayat-ayat suci al-Quran yang mempunyai fakta jelas dan kukuh.

"Dalam al-Quran yang diturunkan pada 1,400 tahun lalu, terdapat beribu fakta sains dan tiada satu pun daripadanya bercanggah dengan sains moden hari ini," katanya dalam ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Selain mengemukakan ayat suci al-Quran yang membicarakan mengenai kitaran air, teori Big Bang, perkembangan embrio dalam kandungan, beliau turut menegaskan hanya Yang Maha Mencipta boleh mengetahui mengenai ciptaannya secara terperinci, begitu juga al-Quran sebagai kalam ALLAH SWT yang mengandungi banyak fakta sains serta sudah dibuktikan dengan sains moden.

Hampir masuk Islam

Suatu perkara menarik berlaku dalam sesi soal jawab pada majlis itu apabila seorang lelaki bukan Islam dikenali sebagai Carlos, 20-an tampil bertanyakan Dr Zakir mengenai kitab mana boleh dipercayai, sama ada injil perjanjian baharu, injil perjanjian lama atau al-Quran.

Dalam responsnya terhadap persoalan itu, Dr Zakir memberitahu lelaki berkenaan, beliau sepatutnya percaya kepada al-Quran yang dirujuk sebagai 'last testament' atau perjanjian terakhir kerana ia merupakan pesanan Nabi Isa sendiri seperti mana terdapat dalam kitab Injil, bab 16, 'The Gospel of John'.

Selepas mendengar kupasan, hujah serta penjelasan Dr Zakir, Carlos mengakui kitab al-Quran sebagai kitab yang benar sebelum Dr Zakir memberitahunya hanya dua ayat perlu disebut sekiranya lelaki itu mahu memeluk Islam tetapi menegaskan tiada sesiapa termasuk beliau sendiri berhak memaksanya berbuat demikian.

Bagaimanapun Carlos menyatakan belum bersedia mengucapkan syahadah walaupun percaya Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan terakhir dan Dr Zakir mendoakan lelaki itu mendapat hidayah sambil meminta Carlos mengkaji secara lebih mendalam mengenai Islam.

Terbuka terima teguran

Dalam pada itu, Dr Zakir memberitahu, beliau sedar terdapat segelintir pihak termasuk juga umat Islam tidak menyenangi dirinya dan memberitahu, beliau terbuka kepada teguran kerana percaya manusia bukan maksum.

"Saya cuma minta orang Islam yang menuduh saya telah berbuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam datang bersemuka dengan saya dan kemukakan rujukan daripada al-Quran yang bercanggah dengan perbuatan saya dan jika ada, saya sanggup mengaku salah," katanya.

Tags:

Share:

0 comments