23 Kanak-kanak Malaysia Dirogol Oleh Richard Huckle - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

23 Kanak-kanak Malaysia Dirogol Oleh Richard Huckle

 Richard Huckle
Malaysia melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan penjenayah “pedofilia paling teruk” Britain Richard Huckle yang mengaku melakukan jenayah ke atas 200 orang kanak-kanak termasuk serangan seksual ke atas 23 orang mangsa di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim berkata kementerian itu kini berusaha mendapatkan maklumat rasmi daripada agensi terlibat sebelum sebarang tindakan tegas dapat diambil selaras dengan undang-undang Malaysia.

“Kementerian menyediakan Talian KASIH 15999 untuk orang ramai menyalurkan apa saja maklumat berkaitan kes ini. Saya juga berharap semua pihak memberi perhatian terhadap sensitiviti mangsa dan keluarga yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.


Tambah Rohani, Malaysia kini sedang mengambil langkah untuk mewujudkan satu daftar maklumat pesalah pedofilia, yang telah disabitkan dengan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak melalui pelaksanaan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015.

Huckle, 30, berdepan dengan 91 pertuduhan mendera kanak-kanak terbabit sebelum memuat naik gambar dan video ke sebuah laman web yang sukar diakses dalam Internet dan kerap digunakan untuk kegiatan haram.

Kegiatan lelaki itu terbongkar selepas polis Australia mengesan kegiatannya secara dalam talian semasa siasatan terhadap suspek lain, lapor BBC News.

Agence France-Presse [AFP] melaporkan penyiasat menemui lebih 20,000 imej lucah dalam komputernya, selain catatan mengenai serangan yang dilakukannya serta sebuah buku panduan yang ditulis lelaki itu bertajuk “Pedofilia dan Kemiskinan: Panduan Penggemar Kanak-kanak”.

Maklumat grafik mengenai puluhan kesalahan seksual oleh Huckle muncul buat kali pertama pada Rabu ketika sesi pendengaran bermula di London.

Lelaki itu menjadikan bayi berusia antara enam bulan dan 12 tahun sebagai mangsa serta kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2006 dan 2014.

Huckle dilaporkan mengambil gambar dan rakaman video dirinya mendera kanak-kanak yang kemudiannya dimuat naik dalam laman web gelap.

Beliau dikatakan menjadi guru Bahasa Inggeris di Malaysia, telah ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London, apabila pulang untuk meraikan sambutan Hari Krismas pada Disember 2014.

Dalam pada itu, Jurucakap British Council di Kuala Lumpur berkata, Huckle mengambil kursus latihan guru serta menamatkan Sijil Pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar dewasa (CELTA) pada tahun 2008, yang memberi latihan kepada individu untuk mengajar pelajar dewasa.

“Berikutan kursus itu, kami tidak mempunyai rekod yang menujukkan beliau pernah bertugas sebagai guru di Malaysia dengan kami, samada untuk pelajar atau kanak-kanak,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tetapi dia pernah muncul dalam satu video promosi, kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengeluarkan satu kenyataan dengan berkata, tiada nama Richard Huckle terdapat dalam rekod program penutur jati dari 2010-2015 dan program English Teaching Assistants dari 2012 hingga kini.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Khair Mohamad Yusof seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia sebagai berkata, Huckle tidak menyertai program anjuran KPM yang melibatkan penyertaan warga asing sebagai tenaga pengajar

Program berkenaan merupakan program anjuran KPM yang melibatkan penyertaan warga asing sebagai tenaga pengajar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kesemua kanak-kanak yang menjadi mangsa Huckle, dalam usaha untuk mendapatkan maklumat secara terperinci berhubung perkara berkenaan.

"Hingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung aktiviti yang dilakukan oleh Huckle namun siasatan secara menyeluruh sedang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.

"Justeru, kita minta mana-mana pihak yang ada maklumat agar tampil bantu siasatan," kata Noor Rashid seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Bernama pula melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ong Chin Lan berkata Bukit Aman telah pun meminta agensi jenayah berpejabat di London, National Crime Agency (NCA), untuk menyerahkan butiran kes berkenaan.

"Kita cuma dimaklumkan mengenai kejadian ini kira-kira sebulan lepas, tetapi tidak memberikan maklumat lanjut kerana kes masih dalam perbicaraan,” katanya.

Dua juta dieksplotasi

Sementara itu, UNICEF Malaysia berkata, perlindungan keatas kanak-kanak bukan sahaja bidang kuasa beberapa organisasi tertentu, tetapi merupakan tanggungjawab bersama memandangkan eksploitasi seks komersil kanak-kanak adalah masalah yang semakin meningkat di seluruh pelusuk dunia.

“Penyelidikan UNICEF menemui bilangan laman web yang mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak telah meningkat sebanyak 147 peratus dengan 80 peratus bahan melibatkan kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun ke bawah,” kata badan dunia itu dalam satu kenyataan.

Menurut data terkini UNICEF, dianggarkan dua juta kanak-kanak di seluruh dunia telah menjadi mangsa eksploitasi seks setiap tahun.

Badan itu juga memuji tindakan Polis Di-Raja Malaysia yang telah mewujudkan Unit Siasatan Siber Seksual Kanak-Kanak yang memerangi pornografi kanak-kanak dalam talian.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi parti pembangkang PKR Fahmi Fadzil berkata kerajaan perlu menjelaskan bagaimana seorang pedofilia dapat terlepas dan sering berulang-alik ke negara itu hampir satu dekad lamanya.

"Jika ya, mengapa dia dibenarkan untuk meninggalkan negara ini," kata Fahmi dalam satu kenyataan.

Beliau juga menuntut polis menjelaskan apa tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa itu, apabila dimaklumkan mengenai Huckle oleh NCA pada 2014.

Sementara itu, seorang aktivis negara Syed Azmi Alhabshi telah mendedahkan wujudnya kumpulan pedofilia tempatan setelah beliau membuat “screenshot” perbualan dari satu kumpulan chat laman sosial yang sering dikunjungi oleh pedofilia tempatan.

"Saya mahu orang tahu dan saya mahu orang ramai memahami bahaya berkongsi gambar-anak-anak mereka di laman sosial,” katanya dalam laman Facebook.

Mangsa dari keluarga miskin

Laporan AFP menyebut mangsa Huckle berusia antara enam bulan hingga 12 tahun dengan ada di kalangan mereka yang berasal daripada keluarga beragama Kristian yang miskin, dengan kejadian dipercayai berlaku sekitar 2006 hingga 2014.

Timbalan Pendakwa Raya, Brian O’Neill berkata, penderaan itu sering membabitkan rakaman gambar kanak-kanak yang dimuat naik ke Internet, menurut laporan itu.

“Imej penderaan kanak-kanak itu pasti sudah dikongsi bersama pedofilia-pedofilia lain dan menjadi subjek yang tidak dapat dikawal penyebarannya di seluruh dunia,” katanya dalam laporan tersebut.

Laporan itu juga menyebut tertuduh pada awalnya menafikan semua 91 pertuduhan, sebelum mengaku bersalah terhadap 71 daripada pertuduhan itu dalam satu siri perbicaraan, termasuk 14 dakwaan rogol dan 31 serangan seksual.

AFP melaporkan Hakim Peter Rook sedang mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup dalam kes itu yang menurutnya “kesalahan yang amat luar biasa.”

Richard yang berasal dari Ashford, tenggara England hadir di Mahkamah Jenayah Pusat London yang juga dikenali sebagai Old Bailey untuk penghakiman pada Rabu dan bakal berakhir pada Jumaat, menurut laporan itu.

Laporan mengenai kes itu sangat terhad kerana penyiasat mahu memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa, selamat dari jenayah pedofilia lain dalam talian, menurut AFP.

No comments: