Galaxy Note 7 Diharam Naik Kapal Terbang - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Galaxy Note 7 Diharam Naik Kapal Terbang


Syarikat penerbangan Singapura menjadi yang terkini melarang penggunaan dan pengecasan Samsung Galaxy Note 7 di dalam pesawat, susulan tindakan sama oleh Australia dan Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

“Menghidupkan dan mengecas telefon bimbit jenama Samsung model Galaxy Note 7 dilarang dalam semua pesawat kami,” menurut Singapore Airlines (SIA), syarikat penerbangan kebangsaan republik tersebut dalam satu kenyataan media di sini pada 9 September.

Perkara sama turut dinyatakan seorang jurucakap SilkAir, anak syarikat SIA, apabila mengesahkan dengan agensi berita tempatan MediaCorp bahawa larangan tersebut juga dikuatkuasakan dalam kesemua 30 buah pesawatnya untuk keseluruhan 50 destinasinya.

Qantas Australia dan Virgin Australia pada 8 September lalu mengumumkan bahawa kedua-dua buah syarikat penerbangan Australia itu bersetuju untuk melarang penumpang daripada menggunakan atau mengecas Galaxy Note 7 dalam mana-mana pesawat mereka.

Ia berikutan pihak ibu pejabat Samsung di Seoul, Korea Selatan secara rasmi mengumumkan pada minggu lalu bahawa telefon pintar terbaharu itu yang keseluruhannya bernilai AS$7 bilion (RM28.7 bilion) terpaksa ditarik balik kerana baterinya mudah terbakar.

Dalam pada itu, jurucakap Jetstar Airways, syarikat penerbangan kos rendah milik Qantas mengesahkan bahawa larangan itu turut dikuatkuasakan termasuk sekutunya iaitu Jetstar Asia berpusat di Singapura, Jetstar Pacific di Vietnam dan Jetstar Japan di Jepun.

“Bagi penumpang yang bawa Samsung Galaxy Note 7, penggunaan dan pengecasan telefon itu tidak dibenarkan dalam pesawat. Ia perlu dipadam sepanjang penerbangan dan tidak boleh dihidup hingga penumpang memasuki terminal lapangan terbang,” kata jurucakap itu.

Singapura Ikut AS, Australia Haram Note 7 Dalam Pesawat

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) juga mengeluarkan makluman pada 8 September menggesa penumpang agar jangan menghidupkan atau mengecas Note 7 semasa dalam penerbangan atau menyimpan di dalam bagasi yang dibawa masuk ke dalam pesawat.

Dalam kenyataan di Washington DC, FAA menyatakan atas kebimbangan bateri telefon itu mudah terbakar, ia dengan tegas menasihati penumpang mematuhi panduannya ‘disebabkan insiden baru-baru ini dan keprihatinan dibangkitkan Samsung mengenai Galaxy Note 7’.

Pada 6 September lalu, Samsung Electronics Singapore di sini mengumumkan bahawa ia mulai tempoh 16 September sehingga 2 Oktober depan akan menggantikan semua Galaxy Note 7 yang dibeli sebelum ini di cawangan-cawangan bertauliah di seluruh Singapura.

Ia melibatkan pelanggan yang membeli Galaxy Note 7 dari sebarang pengendali telekomunikasi tempatan, kedai utama eletronik, peruncit telefon yang bertauliah, Samsung Experience Stores dan Samsung Lazada Singapore Online Store untuk penukaran telefon Note 7.

Mereka bagaimanapun bakal mendapat semula set yang baharu dalam warna yang sama di Pusat Konvensyen Dan Pameran Suntec Singapura atau melalui perkhidmatan penghantaran kurier tempatan terus ke rumah pelanggan secara percuma.

Pelanggan dikehendaki menetapkan jadual untuk mengambil telefon bimbit itu secara online di www.samsung.com/sg/note7exchange sepanjang tempoh penukaran tersebut yang ditetapkan iaitu bermula 9 September hingga 25 September.

Mereka yang tampil menyertai program penukaran berkenaan di Singapura juga akan diberi tempoh jaminan yang dilanjutkan bagi set telefon bimbit baharu, bermula pada tarikh penukaran tersebut. – Agen

No comments: