Raja Thailand Mangkat - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Raja Thailand Mangkat


Raja Thailand Bhumibol Adulyadej, 88, yang menerima rawatan di Hospital Siriraj, Bangkok diumumkan telah mangkat hari ini pada jam 3.52 petang waktu tempatan.

Kemangkatan raja yang paling lama bertakhta di dunia itu disahkan oleh pihak istana.

Sejak sedekad lalu, tahap kesihatan Raja Bhumibol yang berkuasa sejak 1946 itu terus merosot, dan pada tahun ini buat kali pertama baginda ‘dilepaskan’ daripada mengikuti tugas-tugas kenegaraan atas nasihat doktor.

Kali terakhir baginda dilihat dikhalayak ramai pada 11 Januari lepas, selepas itu baginda dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di istana dan hospital kerana pelbagai jenis penyakit dialami baginda.

Antara laporan kesihatan terakhir daripada doktor di Siriraj menyatakan baginda mengalami komplikasi pada organ penting iaitu hatinya.

Pada Khamis, rakyat negara itu berkumpul di luar Hospital Siriraj sejak awal pagi untuk memberi sokongan spiritual kepada Raja Bhumibol.

Orang ramai melakukan upacara berdoa dan bersembahyang untuk berkongsi rasa kasih sayang dan mengharapkan 'keajaiban' kesembuhan untuk raja kesayangan mereka.

Namun, sejurus berita kemangkatannya diumumkan, ribuan orang yang membanjiri pekarangan hospital dan jutaan lagi rakyat di seluruh Thailand tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka.

Ada yang tergamam, menangis dan ada juga yang meratap serta melaung-laungkan nama Bhumibol seolah-olah tidak percaya akan pemergian baginda.

Saluran televisyen negara itu turut menyiarkan suasana yang memilukan di luar pagar Hospital Siriraj, termasuk beberapa orang yang jatuh pitam kerana terlalu bersedih dan bersesak.

Disanjung tinggi

Bhumibol dilahirkan di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 5 Disember 1927 sewaktu bapanya menuntut di Universiti Harvard.

Setelah menghabiskan tahun-tahun terawal usia kanak-kanak baginda di Bangkok, Bhumibol berpindah pula ke Switzerland pada 1933, untuk meneruskan pengajian di Ecole Nouvelle de la Suisse Romande di Lausanne.

Kemudian pada tahun 1945, baginda menyambung pengajian di Universiti Lausanne dalam bidang sains sewaktu abangnya, Ananda Mahidol mengambil alih takhta sebagai raja sejak tahun 1935.

Namun, kemangkatan misteri Mahidol pada bulan Jun 1946 dalam satu insiden tembakan, secara tidak langsung membuatkan penyandang takhta negara itu diganti Bhumibol.

Bhumibol ditabalkan secara rasmi sebagai Raja Thailand pada 5 Mei 1950 di Istana Diraja, Bangkok.

Sepanjang menduduki takhta, baginda melakar sejarah Thailand antaranya dengan memperkenalkan sistem demokrasi dan menjadi pengaman setiap kali ada krisis politik.

Baginda juga disanjung tinggi sebagai raja yang sentiasa mengambil berat tentang isu yang dihadapi rakyatnya seperti kos sara hidup, kebajikan, pendidikan, ancaman dadah dan hal berkaitan keganasan.

Pernah tercatat dalam senarai raja terkaya oleh Forbes, baginda banyak menyalurkan hartanya demi kepentingan ramai iaitu dengan menyumbang dalam projek infrastruktur, komunikasi, alam sekitar, kesihatan dan pertanian.

Pada 9 Jun 2016 lalu, genap 70 tahun baginda menjadi Raja Thailand.

Mesyuarat khas

Dewan Perundangan Nasional (NLA) Thailand mengetepikan acara lazim mereka malam ini apabila mengadakan mesyuarat pada jam 9 malam (10 malam waktu Malaysia).

Naib Presiden NLA Surachai Liangboonlertchai mendedahkan perkara itu dan meminta dewan perwakilan untuk bersedia sepanjang masa satu mesyuarat khas dan untuk memantau semua saluran komunikasi Parlimen, terutamanya medium elektronik.

No comments: