Donald Trump Calon Presiden Amerika Syarikat Yang Terbaik. - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Donald Trump Calon Presiden Amerika Syarikat Yang Terbaik.

Artikel panjang lebar yang saya ambil dari sudut pandangan rakan saya yang boleh saya katakan sudut pandangan yang menarik.

Fakta-fakta yang dipertuturkan penuh logik. Apa yang sama minat pada artikel ini ialah hak kelas menengah yang semakin terpencil dan tertekan. Serta kepimpinan kelas Elit yang mementingkan kaum pemodal berbanding rakyat. Sebab itu Donald Trump menang sebagai Presiden Amerika Syarikat.

hanif idrus blog

Pilihan Raya Presiden Amerika akan dijalankan pada Selasa 8 November ini. Pada bulan September ini ada 1,885 calon presiden yang mendaftar dan mengisi borang. Hampir kesemuanya tidak kita ketahui nama and rupa mereka. Tapi bukan semuanya memiliki kriteria yang membolehkan mereka bertanding.

Hingga ke tahap saya menulis ini kita hanya mengenali dua calon yang diheboh-hebohkan oleh media Amerika. Dan dibontoti oleh media dunia. Maka setiap hari semenjak dua bulan ini kita mendengar atau membaca berita Hillary Clinton dari parti Demokrat (PD) dan Donald Trump dari parti Republikan (PR).

Sabenarnya ada lagi calon-calon lain. Parti Hijau mencalonkan Jill Stein. Parti Libertarian mencalonkan Gary Johnson. Darell Lane dari Parti Perlembagaan. Rocky De La Fuente dari Parti Reform. Evan McMullin - calon bebas. Dan Gloria Estela La Riva dari Parti Sosialis. Kesemua calon ini telah memiliki hak dan memenuhi kriteria untuk bertanding mengikut peraturan SPR Amerika.

Untuk saya pemilihan Presiden Amerika ini - memilih calon Republikan atau Demokrat - sama saperti memilih Pepsi Cola atau Coca-Cola. Tidak ada perbezaan hakiki.

Hillary dan Trump mewakili kuasa imperial Amerika. Mereka mewakili kepentingan sistem ekonomi kapitalis dunia yang berpangkalan di Amerika.

Antara Hillary dan Trump dari segi sistem ekonomi kapitalis tidak ada perbezaaan. Kedua-dua calon ini tidak menentang sistem ekonomi kapitalis. Kedia-dua calon ini sedang berdebat untuk melihat siapa yang lebih baik untuk menjaga kepentingan kaum pemodal.

Mereka berdebat untuk melihat siapa lebih baik menjaga kepentingan Isreal. Berdebat untuk melihat siapa yang lebih baik untuk melancarkan serang terhadap Russia. Siapa antara berdua ini yang lebih berani untuk memperluaskan Nato. Siapa yang akan meledakkan bom nuklear.

Kendati pun semua ini - saya Hishammuddin Rais secara terbuka menyokong Donald Trump dari Republikan untuk menjadi Presiden Amerika pada November ini.

Semua negara tak terlepas

Betul - ini pertempuran Coca-Cola dengan Pepsi Cola. Tetapi kita tidak ada pilihan. Rakyat dunia hari ini tidak ada pilihan. Kita semua di bawah empayar Amerika. Dasar dalam dan dasar luar Amerika semuanya bersangkut paut dengan kita semua.

Suka tidak suka dasar Rumah Putih pada ketika ini akan memandu, akan mengemudi arah perjalanan dunia. Sangkut paut dan kait mengait dengan kita di Malaysia ini terjadi kerana Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Semua negara dalam dunia yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis tidak akan terlepas daripada dasar dan politik Amerika.

Ini hakikat dunia kita pada ketika ini. Justeru kita semua wajib memahami apa yang berlaku di Amerika. Memahami apa dasar Amerika. Kita wajib mendapat pencerahan tentang dasar luar Amerika. Ini bukan bertujuan agar kita jadi bijak dalam hal politik Amerika atau arif hubungan antarabangsa. Hanya wajib mengetahui asas politik dunia agar kita semua bersedia.

Bersedia? Bersedia untuk apa?

Bersedia agar kita tidak terperanjat jika tiba-tiba perang pecah di Laut China Selatan. Atau tiba-tiba kapal perang Amerika masuk ke Selat Melaka. Tiba-tiba soldadu Amerika berduyun-duyun turun ke Sabah.

Untuk mendapat pencerahan biar saya bawa kembali kepada hujah kenapa saya menyokong Trump dan tidak menyokong Hillary.

Saya tidak menyokong Hillary bukan kerana saya antifeminis. Bukan kerana saya sexist kerana Hillary seorang perempuan. Atau saya seorang sizeist kerana Hillary semakin tembam dan montok. Saya memiliki hujah yang lebih jalang daripada ini semua.

Untuk saya Hillary akan membawa bahaya kepada dunia. Bahaya ini muncul hasil daripada maklumat dikumpul daripada pembacaan dan pengalaman saya.

Amat jelas Hillary ialah calon yang disokong teguh oleh Wall Street. Hillary Clinton mendapat sokongan 100 peratus daripada pemilik kilang senjata di Amerika. Industri persenjataan Amerika - American Military-industrial complex - menyokong Hillary secara terbuka.

Apa yang menjadikan Hillary berbahaya samalah saperti bahaya yang telah dibawa oleh Obama. Presiden Obama semasa menjadi calon tidak dilihat sebagai White Anglo-Saxon Protestant (WASP). Semua elit politik dan elit ekonomi di Amerika adalah suku sakat WASP. Semua Presiden Amerika datang dari WASP kecuali Presiden Kennedy - seorang Katholik.

Sebagai orang hitam Obama dilihat popular dengan warga tertindas di Amerika. Imej Obama juga dilihat sebagai calon yang berkemungkinan bersimpati kepada warga Dunia Ketiga.

Tetapi semua ini dalah hampeh belaka. Bila Obama menang dia menjadi ‘budak negro’.

Budak negro adalah budak suruhan dalam pensejarahan hamba abdi di Amerika. Watak ini berada hingga sekarang. Justeru budak negro bernama Obama menjadi budak suruhan terbaik untuk kaum pemodal berkulit putih merembat dan merampok harta kekayaan dunia. Lihat bagimana budak negro ini sanggup main golf dengan Najib agar TPPA ditanda tangani.

Hakikatnya ramai warga Dunia Ketiga tertipu oleh imej warna kulit Obama.

Penyokong perang di Rumah Putih

Adalah fakta bahawa Obama - yang berkulit hitam - mengebom mati lebih banyak warga di Pakistan, di Afghanistan, di Somalia, di Libya, di Iraq atau di Yaman. Yang mati dibunuh Bush dan Clinton kalau dicampurkan tidak seramai yang dibom oleh dron Obama.

Inilah peranan ‘negro budak’ yang mendapat arahan Wall Street dan Tuan Empunya Kilang senjata.

Kali ini Wall Streeet dan Tuan Empunya Kilang Senjata telah memilih Cik Puan Hillary Clinton. Tujuannya sama. Hillary - seorang perempuan, dianggap feminis, dibaca berhati bonda - memiliki ciri ibu yang lemah lembut. Hillary dikatakan membawa politik liberal.

Hampeh. Semua ini hampeh. Pekara yang sama telah ditulis ketika Barack Obama dicalonkan ke Rumah Putih.

Bertopengkan semua ini kaum pemodal dan Tuan Empunya Kilang Senjata sedang berusaha untuk memastikan Hillary menang. Jika Hillary menang maka ‘kumpulan penyokong perang’ akan sekali lagi berkuasa di Rumah Putih.

Wajib saya nyatakan di sini bahawa Paul Wolfowitz - bekas Duta Amerika ke Indonesia, bekas Presiden Bank Dunia dan bekas Penolong Setiausaha Pertahanan Amerika - telah menyelinap masuk ke kem Hillary.

Walaupun dia dari parti Republikan tapi berjaya masuk ke kem Demokrat. Mamat ini mewakili pandangan kanan yang dipanggil Neocon. Mereka berkumpul dalam kumpulan pemikir yang di panggil PNAC.

Puak Neocon inilah yang bertanggungjawab mengajukan dasar PNAC atau Project for New American Century - Projek Dasar Baru Untuk Kurun Amerika - pada 1997. Dalam kumpulan ini terdapat pemikir intelektual jalur kanan Amerika saperti William Kristol dan Robert Kagan. Termasuk sama dalam kumpulan in ialah Dick Cheney dan Donald Rumsfeld yang berjaya akhirnya masuk ke dalam kabinet Presiden Bush Jr.

Kumpulan PNAC inilah yang berjaya melobi Presiden Bush - yang susut intelek - untuk melancarkan perang terhadap Iraq, Afghanistan, Syria dan Libya.

Sekali lagi topeng Demokrat akan digunakan. Satelah selesai budak negro menjalankan tugas dengan baik maka seorang perempuan akan digunakan untuk meneruskan dasar kanan PNAC.

Russia, China sebagai rakan

Justeru satelah melihat apa yang telah berlaku dan mengumpul pengalaman maka saya bebesar hati menyokong Donald Trump.

Betul Donald Trump memiliki sentimen prasangka. Mungkin juga berbau rasis. Betul Trump sexist. Betul Trump kasar bahasanya. Sekali sekala kurang hajar.

Wajib kita mengakui bahawa perangai dan budi bahasa Donald Trump bukan asing dalam masyarakat Amerika. Trump mewakili pandangan induk masyarakat Amerika. Trump mewakili warga Amerika dari kelas bawahan. Sentimen yang dinyatakan Trump bukan sesuatu yang asing. Ini adalah fikrah majoriti warga Amerika yang selama ini diwakili oleh golongan elit politik yang ‘berbudi bahasa’.

Warga Amerika yang menyokong Trump antikaum imigran yang datang mengambil kerja mereka. Mereka marah terhadap tuan empunya kilang yang menutup kilang dan membuka kilang yang sama di China atau di Vietnam atau di Malaysia. Mereka marah dengan kemasukan dan lambakan barangan murah dari China.

Kilang pembuatan Amerika banyak yang gulung tikar. Buruh terlatih Amerika hilang pekerjaan. Kelas menengah Amerika semakin mengecil dan terperosok dalam hutang.

Maka muncul Donald Trump yang membawa sentimen nasionalis Amerika. Sama saperti warga Sarawak dan Sabah yang melaungkan Sabah untuk watan Sabah. Warga Amerika juga melaungkan Amerika untuk Warga Amerika - American First.

Pada hemat saya American Firstatau Amerika untuk watan Amerika bukan jenayah. Amerika negara mereka. Amerika sekarang sama saperti Malaysia yang menghadapi ramai pendatang haram.

Di Sabah kita menghadapi kedatangan warga Filipina. Amerika juga berhadapan dengan kemasukan warga Mexico. Kalau di Sabah pendatang tanpa izin membawa masalah, maka di Amerika juga ada masalah yang sama.

Donald Trump sedang mengajukan dasar-dasar baru. Salah satu dasar baru Trump yang saya sokong kuat ialah tentang Nato. Perjanjian Nato membolehkan Amerika menempatkan bala tentera di Eropah. Trump telah bertanya secara terbuka: Kenapa Amerika bebelanja berbilion dolar untuk keselamatan orang lain i.eEropah.

Trump tidak pula melihat Russia sebagai musuh. Trump melihat Russia dan China sebagai rakan niaga.

Pandangan Trump terhadap Nato, Russia dan China telah menakutkan Tuan Empunya Kilang Senjata. Suara Trump telah menakutkan kaum pemodal yang mahu perang berterusan dan kilang senjata terus mengeluarkan senjata.

Biar saya mudahkan hujah saya. Di Malaysia jika ada pemilihan presiden maka saya dengan senang akan memilih Vincent Tan daripada Haji Hadi. Atau saya dengan hati jujur akan memilih Ananda Krishanan daripada Nik Abduh.

Saya tahu musuh mana yang lebih senang ditumpaskan. Senang membuat kerja politik. Justeru satu orang musuh yang menyamar sebagai kawan adalah lebih bahaya dari seribu musuh

No comments: