Leftenan Adnan Bin Saidi Korban 14 Februari 1942 - Hanif Bin Idrus Blog

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Home Top Ad

Leftenan Adnan Bin Saidi Korban 14 Februari 1942

Leftenan Adnan Bin Saidi
Bila bercerita tentang 14 Feb sudah tentu kita berbicara tentang Hari Kekasih namun pada tarikh itulah pejuang bangsa Melayu telah terkorban mempertahankan pos kawalannya dari penjajah Jepun.

PERTEMPURAN PASIR PANJANG DAN BUKIT CHANDU, SINGAPURA PADA 13 DAN 14 FEBRUARI 1942

Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu telah ditugaskan oleh Jeneral A. E. Percival iaitu Pemerintah Tentera British Malaya di Singapura untuk mempertahankan kedudukan terakhir Tentera British Malaya di Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Pasukan tersebut diketuai oleh seorang anak muda kelahiran Sg. Ramal, Hulu Langat, Selangor iaitu Lt. Adnan Saidi telah berusaha menyekat kemaraan Tentera Jepun yang telah berjaya menakluki Malaya (Tanah Melayu) pada 31 Januari 1942. Pertempuran sengit antara Rejimen Askar Melayu dan Tentera Jepun telah berlangsung dari 13 hingga 14 Februari 1942 dimana anak-anak Melayu telah menunjukkan semangat kepahlawanan Melayu menentang kemaraan Tentera Imperial Jepun yang dibawah arahan Jeneral Yamashita. Kekalahan Rejimen Askar Melayu ke tangan Tentera Jepun di Singapura telah menyebabkan Jeneral A. E. Percival dan saki baki Tentera British di Singapura telah menyerah kalah pada 15 Februari 1942.

Pada petang hening, 14 Februari 1942.

Sekujur tubuh kaku kelihatan tergantung di sebatang pokok di atas puncak Bukit Chandu, Singapura. Mayat yang memakai uniform Askar Melayu ini ditikam bertubi2 tanda pembalasan dendam dan marah kerana anak muda berpangkat Leftenan inilah yang mengetuai barisan gagah, ampuh, berani dan hanya maut yang membuatkan mereka berhenti dari mempertahankan Bukit Chandu, pertahanan terakhir British di Singapura sebelum ditawan Jepun. Lehernya dikelar, dan isi perutnya terburai dimamah bayonet Tentera Jepun. Mayatnya dilarang diturunkan, buat pengajaran untuk para penentang Maharaja Jepun.

Kendatipun diperlakukan sedemikian, di tangannya sendiri telah terkorban berpuluh askar Jepun. Peluru habis, parang dilibas. Parang tumpul, bayonet dikilas. Bom tangan juga telah habis dilempar ke arah musuh. Leftenan itu lebih rela berputih tulang dari berputih mata melihat posnya ditawan dan kawasan jagaannya dirampas musuh.

48 jam sebelumnya, sekumpulan Askar Melayu telah mematahkan serangan bertubi2 silih berganti Rejimen Chrysenthemum Tentera Jepun. 48 jam lamanya, Askar Melayu pimpinan beliau dari 1 Melayu, bertempur tanpa henti, berbekal semangat dan berjuang bersama Rejimen Punjabi dan saki baki British menentang keazaman Jepun menawan Singapura yang ketika itu sebahagian dari Tanah Melayu.

Jeneral Yamashita berkata selepas berjaya membunuh Leftenan Adnan dan menawan benteng terakhir Malaya di Bukit Chandu;

"Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun."

Musuh sekalipun turut mengagumi semangat berjuang anak Melayu ini memimpin para pengawal Bukit Chandu sehingga titisan darahnya yang terakhir.

Hari ini, kita mengenang kecekalan dan pengorbanan beliau kerana pada petang hening, 14 Februari, 1942, Leftenan Adnan Bin Saidi telah syahid menemui pencipta-Nya.

Mari kita sama2 hadiahkan AlFatihah kepada Allahyarham & pahlawan2 kita; AlFatihah....

No comments: