Header Ads

RUU355 Menjawab Hujahan Liberalis

Tertarik dengan hujahan oleh penulis ini. Aku bukannya ahli PAS atau sebaliknya tetapi hujahan beliau ini tentang RUU355 boleh kita gunakan sebagai brainstorming antara kita.


*RUU355: Menjawab hujahan liberalis*

ALANG IBN SHUKRIMUN | 21 Februari 2017.

Dalam banyak-banyak *komen negatif* yang sempat dibaca *berkenaan RUU355*, saya tertarik untuk membalas sebuah tulisan dari sebuah portal. Penulisnya mendakwa *sebagai muslim*, tetapi dari isi penulisan, fikirannya banyak *terpengaruh dengan ideologi liberalisme*. Memandangkan sudah ramai yang menjawab pendirian negatif dari golongan agamawan dan orang kebanyakan, maka saya ambil peranan untuk menembus mind-block dari golongan liberalis pula.

Berikut antara hujahan mereka:

*1. TIDAK ADIL*

Didakwa RUU355 adalah undang-undang yang tidak adil. Alasannya kerana had maksima denda RM100,000 menzalimi penjenayah yang miskin.

Tidakkah beliau faham makna *had maksima*? Ia bermakna tidak boleh lebih dari RM100,000 tetapi boleh kurang dari itu. Penentuan jumlah denda yang perlu dibayar adalah mengikut keputusan hakim, berdasarkan nasihat dan rundingan dari para peguam. Mengikut konsep Islam, soal kaya miskin penjenyah turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman. Secara praktikal, amat jarang berlaku dalam mana-mana mahkamah seseorang dihukum dengan had maksima.

Di dalam Islam juga, terdapat hukuman diyat bagi pembunuh tidak sengaja. Nilai diyat pada hari ini mencecah sehingga 1 juta ringgit. Mengikut undang-undang sekarangpun, denda bagi pemilik dadah atau senjata api juga tinggi. Kalau anda berhujah RM100,000 itu menzalimi penjenayah miskin, anda juga perlu membantah semua hukuman ini.

Beliau turut mengguna hujah al-Quran Surah al-Baqarah ayat 286 kononnya Islam tidak membebankan apa yang tidak mampu.

Kerana memahami ayat inilah, hukuman dicadangkan maksimum RM100,000. *Pihak yang tidak mampu setelah disahkan oleh mahkamah boleh dikurangkan denda.* Tetapi pihak yang kaya-raya akan mempermainkan begitu sahaja undang-undang jika denda itu tidak menjejaskan khazanah hartanya sendiri.

*Seorang jutawan yang melakukan kesalahan tidur bersama isteri anda, padankah jika mereka hanya didenda RM5,000 seperti had maksimum sekarang?* Mereka boleh bayar, dan selepas itu mereka boleh tidur lagi dan bayar lagi sekiranya tertangkap. Kalau anda mahu itu berlaku, teruskan menentang!

Namun beliau cuba menjawab dengan memetik ayat 135 dari surah an-Nisa`, bahawa Allah menentang sikap tidak adil dalam menghukum, akibat membezakan orang kaya dan orang miskin.

Beliau keliru antara maksud adil dan sama rata. *Adil bukan sama rata dan sama rata bukan adil.* Tuhan mewajibkan zakat hanya kepada orang kaya. Orang kaya pula membayar dengan amaun berbeza mengikut peratus kekayaan. Tuhan tidak samaratakan kewajipan zakat. Adakah Tuhan sendiri menentang firmanNya?

Perbezaan adil dan sama rata ini orang bukan Islam pun faham. Tak silap saya ada gambarajah yang pernah disebarkan untuk membantu orang memahami perbezaan ini. Cuba cari. Dengan bantuan visual, mungkin lebih masuk ke benak anda.

*2. HANYA ALLAH YANG LAYAK*

Beliau juga beralasan, hanya Allah yang layak menghukum *manusia tidak boleh menghukum.*

Nampaknya hujah ini perlu dihalakan kembali ke arah beliau. Kalau mereka tahu hanya Allah yang layak menghukum, *apa guna wujud mahkamah di dunia?* Bukankah di mahkamah itu tempat menjatuhkan hukuman? Tidakkah kewujudan semua undang-undang ini bersalahan dengan dakwaannya? Kenapa tak bantah semua ini? Biar dunia tanpa undang-undang?

Nasihat saya untuk beliau, jika mahu jadi seorang liberalis, jadilah liberalis yang berilmu. Tahu asal-usul dan selok belok ideologi yang dianuti. Konsep liberalisme tidak pernah menentang kewujudan undang-undang. Bagi mereka, undang-undang itu diwujudkan bagi menjamin hak individu disalahguna atau ditindas. Yang menentang undang-undang adalah fahaman anarkisme. Mereka sememangnya bersifat anti-thesis.

*3. MUSTAHIL DAPAT SAKSI*

Alasan seterusnya adalah dalam soal penyaksian. Bagi beliau, mewujudkan 4 saksi yang cukup syarat dalam bab penzinaan adalah sangat mustahil di zaman ini.

Itu tidak menjadi masalah. Jika tidak cukup syarat saksi, hukuman hudud tidak boleh dijalankan. *Kalau saksi-saksi ini tidak cukup empat, saksi ini pula boleh dituduh di bawah kesalahan qazaf.* Inilah keistimewaan Islam. Keras hukumannya, tapi sukar dilaksanakan sebagai simbolik rahmat kasih sayang Tuhan.

Tidak boleh menjatuhkan hukuman sebat atau rejam sepatutnya tidak boleh menjadi alasan RUU355 perlu dihalang. *Kami menyokong RUU355 bukan kerana nak melihat ramai yang akan dihukum, tetapi kerana nak tengok ramai yang TAK BERANI buat jenayah.* Mereka yang cuba menghalang RUU355 pula difahami seolah bersetuju untuk dengan mekanisme lain yang lebih mudah untuk menghukum orang. Adakah anda memang suka melihat orang dihukum?

*4. RUU355 BUKAN HUDUD*

Secara tiba-tiba, mereka turut menyelit serangan terhadap kenyataan penyokong RUU355. Kritik beliau, kalau RUU355 bukan hudud, kenapa sebat sampai 100 kali?

Benar, RUU355 bukanlah hudud secara akademik mengikut perbincangan para fuqaha. Tetapi untuk merealisasikan undang-undang Ilahi itu, perlu wujud kerangka undang-undang yang tidak menghalang terlebih dahulu. Kerangka itulah yang ingin diwujudkan melalui RUU355.

Setelah RUU355 ini diluluskan, tetapi Pulau Pinang masih mengekalkan undang-undang syariah sedia ada, hudud masih belum boleh dijalankan. Tetapi Terengganu dan Kelantan yang sudah digubal undang-undang tubuhnya, boleh untuk menjalankan sebahagian hudud.

*RUU355 ibarat pintu pagar yang membebaskan agama ini untuk diamalkan secara keseluruhan.* Soal mahu laksana hudud atau tidak, *terserah kepada setiap negeri*. Justeru secara faktanya, memang RUU355 bukan hudud!

Katalah di sebuah kampung sekumpulan pengembala kambing menghadapi masalah ternakan mereka tidak boleh makan rumput di satu lembah kerana pagarnya terkunci. Lalu sebahagian berpendapat untuk membolehkan kambing makan rumput, pagar wajib dibuka. Sangat bodoh bagi pengembala yang menentang pagar dibuka, atas alasan kita nak bagi makan kambing, bukan nak buka pagar.

Harap kita tak terlebih dangkal dari pengembala ini. Apapun manusia sebegini memang pelik. *Kata hudud, dia marah. Kata bukan hudud pun dia marah. Apa yang mereka mahu sebenarnya?*

*5. RUU355 BUKAN HUKUM ALLAH*

Mereka mendakwa penyokong RUU355 menyifatkan ia sebagai hukum Allah. Sedangkan hukum Allah tak tetapkan RM100,000 denda dan 30 tahun penjara.

Saya harap dakwaan ini disokong dengan bukti. Pemimpin mana yang kata RUU355 hukum Tuhan? Saya rasa dia terpengaruh dengan *khurafat yang dicipta seorang mufti dan seorang PhD hadis sahaja.* Tidak pernah saya dengar pemimpin RUU355 kata ia hukum Tuhan. Kalau ia kata orang bawahan yang tidak berautoriti, mereka tiada locus-standi.

Tetapi seperkara yang perlu dijelaskan ialah, *hukum-hukum Tuhan sekarang sedang terhalang dengan undang-undang sedia ada negara.* Untuk membebaskan hukum Tuhan ini. Perlu kepada pindaan undang-undang seperti RUU355. Justeru *walaupun ia bukan hukum Tuhan, tetapi adalah jalan untuk menyempurnakan hukum Tuhan.*

Dalam *kaedah fiqh menyebut, sesuatu perkara yang mesti ada bagi menyempurnakan sesuatu hukum tuhan yang wajib, maka hukumnya juga adalah WAJIB.* Contoh wuduk, tidak ada perintah dari Allah menyatakan wuduk itu wajib. Tetapi tanpa wuduk, solat tidak dapat disempurnakan. Maka ulama menyatakan wajib wuduk untuk solat.

*RUU355 adalah syarat untuk banyak hukum Tuhan dapat dijalankan.* Mengikut kaedah di atas, *tidakkan berdosa bagi seorang muslim untuk menghalangnya sesuatu yang wajib?*

*6. KHALWAT*

Alasan seterusnya adalah isu berkaitan dengan non-muslim. Sekiranya seorang muslim ditangkap khalwat bersama non-muslim, maka hak seorang non-muslim untuk berkhalwat akan turut terancam.

*Di sini perlunya kesedaran kepada non-muslim*, bahawa jika mereka mahu berhubungan dengan seorang muslim, mereka *perlu memahami batas-batas yang perlu dijaga oleh seorang muslim.* Sama juga kalau seorang Kristian mahu berhubungan dengan seorang Hindu, perlu tahu batas yang perlu dijaga oleh seorang Hindu. Mana boleh mudah-mudah lembu yang dianggap Hindu sebagai tuhan, disembelih dan digulai kari oleh pasangannya yang Kristian. Si Yahudi juga tidak boleh senang-senang melahap limau yang dipersembah kepada tuhan Budhha.

Isunya adalah menghormati perbezaan agama. Kalau anda beralasan khalwat boleh mengganggu hak non muslim, maka anda perlu membantah semua ajaran agama lain! Logikkah?

Selain itu suka saya nyatakan, *prosedur pengintipan* orang khalwat adalah tidak menepati ajaran Islam. Maka mengambil contoh kes khalwat hari ini untuk menidakkan RUU355 adalah salah.

*7. SAKSI NON-MUSLIM*

Beliau turut menyatakan *saksi non-muslim tidak diterima dalam Islam* sebagai menyinggung perasaan non-muslim.

Kalau begitu anda perlu bantah semua hukum Tuhan yang lain. Kahwin, solat, puasa, zakat, jadi imam, semua itu *mensyaratkan muslim*. Saya rasa pandangan beliau sudah jauh di awangan. Belum pernah timbul lagi non-muslim mempertikai syariat Islam yang menghalang mereka jadi imam solat. Ternyata ia hanya pseudo-problem yang sengaja dicipta.

Tambahan pula, ulama berkhilaf tentang penyaksian non-muslim. Bukan semua kes perlu kepada penyaksian muslim. Penyaksian non-muslim juga diiktiraf dalam kes-kes yang melibatkan mereka.

Di mahkamah syariah sekarang pun, memang mensyaratkan muslim sebagai saksi. Kenapa isu ini tidak pernah timbul sebelum ini?

*8. MENGAWAL PERIBADI*

Menggunakan al-Quran surah al-Zumar ayat 41, beliau turut mendakwa Islam menentang sikap mengawal peribadi seseorang yang lain. RUU355 ini adalah cubaan untuk mengawal kehidupan orang.

Anda perlu baca kembali falsafah undang-undang sivil. *Bukankah ia juga bertujuan mengawal perlakuan individu?* Kenapa tidak menyerang undang-undang?

Saya fikir *orang seperti ini sudah layak untuk diberkas dan dimasukkan ke sel pemulihan.* Beliau bukan setakat menentang RUU355, bahkan beliau telah menentang peradaban dan ketamadunan manusia abad ke-21. Beliau *menyalahkan semua sistem yang ada sekarang.* Menentang semua falsafah sains sosial yang diperakui zaman-berzaman.

*Kalau benar beliau tidak mengalami masalah mental, beliau sepatutnya mengemukakan modul alternatif yang praktikal.* Bercakap tentang teori semata-mata, orang gilalah yang paling hebat berhujah!

Kesimpulan secara makro, dengan bekalan hujah ayat-ayat al-Quran dan pandangan mazhab yang dibawa, saya yakin ini bukan pandangan peribadi beliau. Bahkan ia adalah hasil perbincangan ramai pihak termasuk golongan agamawan yang membantu membekalkan hujah islamik. Kerana itu saya terpanggil untuk menjawab.

Harap-harapnya jawapan ini sampai kepada mereka, dan *diamati secara insaf, bukan secara emosi.* Buka minda, buka hati. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Maaf andai terkasar bahasa. - HARAKAHDAILY 21/2/2017

http://m.harakahdaily.net.my/index.php/berita-utama/44355-ruu355-menjawab-hujahan-liberalis

No comments