Header Ads

Ayah Lebih Memanjakan Anak Perempuan


Hanis...abah dah balik. Sayang anak abah," ucap Hanif sambil memeluk anak perempuannya yang berusia 3 tahun.

Hanis memang manja sangat dengan papanya berbanding adiknya Haziq. Pendek kata, Hanis umpama "daddy's little girl".

Betulke ayah akan lebih manjakan anak perempuan berbanding anak lelaki? Dengan kata lain layanan seorang ayah pada anak perempuan lebih lembut berbanding pada anak lelaki yang dilayan agak 'keras'.

Mengikut kajian yang disiarkan dalam Behavioral Neuroscience, seorang ayah terbukti lebih prihatin dan peka terhadap keperluan anak perempuan berbanding anak lelaki yang sama usia.

Kajian tersebut dijalankan melalui kaedah imbasan otak dan rakaman interaksi seharian sekumpulan ayah dan mendapati mereka akan menyanyi dan bercakap lebih terbuka tentang emosi kepada anak perempuan mereka berbanding pada anak lelaki. Adakah kerana anak perempuan lebih sensitif dan bersikap manja?

Bukan!Kajian mendedahkan kemesraan dan keprihatinan yang diberi oleh ayah tersebut bukan hanya disebabkan oleh anak perempuan yang lebih sensitif bahkan apa yang mereka katakan pada anak perempuan berbanding anak lelaki juga berbeza.

Ayah biasanya akan lebih cenderung memberi fokus pada pencapaian dan permainan fizikal seperti berlawan, bertumbuk dan sebagainya jika berinteraksi dengan anak lelaki. Perkataan yang biasa disebut oleh ayah kepada anak lelaki juga berunsur kejayaan seperti "menang", "bangga", "bagus sekali".

Tetapi untuk anak perempuan, ayah lebih banyak menggunakan perkataan yang terperinci seperti "semua", "banyak" dan bersifat kreatif melayan mereka. Penulis kajian menyatakan penggunaan bahasa tersebut akan mempunyai kaitan dengan pencapaian pendidikan dan akademik di masa hadapan.



Mengapa layanan berbeza mengikut jantina anak?

Kajian dijalankan bertujuan untuk mengkaji peranan seorang bapa dalam proses membesarkan anak-anak. Namun kajian tidak berjaya menentukan mengapa layanan berbeza itu berlaku.

Adakah otak ibu bapa telah diikat untuk melayan anak-anak mereka secara berbeza atau ia sekadar interaksi berdasarkan norma sosial yang asas iaitu anak perempuan lebih bersikap manja dan perlukan lebih perhatian dan perlindungan?

Menurut Jennifer Mascaro, ketua penyelidik dari Universiti Emory, sekiranya anak perempuan menangis, si ayah akan segera menyahut dan pantas berlari ke arah anak peremupuannya, berbanding ke arah anak lelaki.

Walaupun kajian tidak membuktikan sebarang kesan buruk akibat perhatian lebih yang diberikan oleh ayah terhadap anak perempuannya, tetapi ada sesuatu perkara yang boleh memberi kesan pada tumbesaran anak perempuan.

Misalnya seorang ayah dalam komunikasi harian dengan si anak, menggunakan bahasa yang merujuk bahagian badan anak perempuan dengan istilah manja seperti "buncit" atau "gendut" dengan lebih kerap berbanding pada anak lelaki.

Kajian telah membuktikan yang pemilihan perkataan ini memberi kesan pada emosi anak perempuan berbanding pada anak lelaki apabila mereka membesar.

Anak perempuan akan rasa tidak puas hati tentang badan mereka dan mungkin juga mudah rasa rendah diri.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ayah?

Memang tak salah jika seorang ayah lebih memanjakan anak perempuan berbanding anak lelakinya. Sudah terbukti memang seorang ayah akan lebih memberi sepenuh perhatian dan gemar memanjakan anak perempuan berbanding anak lelaki.

Tetapi, jangalah terlampau berat sebelah. Apa kata anda layan mereka secara sama rata. Mungkin beberapa cara ini boleh dicuba pada anak perempuan dan anak lelaki anda juga

1. Jangan takut untuk menjadi lasak. Kajian menunjukkan bermain bersama anak-anak - lelaki dan perempuan di atas lantai dan secara fizikal (tetapi selamat) boleh membantu mengawal emosi mereka.

2. Pemilihan perkataan penting. Jika apa yang anda cakap boleh memberi kesan pada akademik dan pencapaian fizikal kepada imej tubuh badan, gunakan ayat pujian dan perhatian yang sama pada kedua anak lelaki dan perempuan.

3. Beri perhatian yang sama. Sebenarnya perbualan berkaitan hal emosi juga boleh dilakukan dengan anak lelaki. Kanak-kanak yang terdedah dengan keperluan emosi yang cukup akan membesar dengan lebih empati bila mereka besar nanti. .

Sebenarnya seorang ayah sayang akan anak-anaknya sama rata tanpa ada perbezaan mengikut jantina. Tetapi cara ayah memanjakan anak lelaki dan melayan mereka perlu berbeza dengan anak perempuan kerana mahu mendidik anak lelaki sebagai ketua dalam semua hal.

Sumber: majalahpama.com

1 comment

Penulis Blog Kencing Manis said...

pengalaman saya adalah ibu lebih memanja anak laki. ayah lebih memanja anak perempuan.