Header Ads

Bendera Indonesia Terbalik Cetakan Di Sukan SEA 2017

Bendera Indonesia Terbalik Cetakan Di Sukan SEA 2017
Suhu kemarahan rakyat Indonesia mendidih gara-gara kesilapan fatal berkaitan bendera terbalik di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Insiden bendera Indonesia tercetak terbalik dalam buku SEA Games 2017 di Kuala Lumpur amat dikesali Kerajaan dan rakyat Indonesia, dan untuk itu Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi  berkata  sudah melakukan komunikasi dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

Bendera berkenaan sepatutnya merah putih, dan bukannya putih merah.

Retno berkata, Kerajaan Indonesia melalui Kementerian Luar Malaysia telah melakukan protes kepada Kerajaan Malaysia.

“Sudah, sudah berkomunikasi dengan Menteri Luar Negeri Malaysia. Dan kita akan mengirim nota diplomatik,” kata Retno kepada media Indonesia di sini.

Retno yang ternyata kesal kejadian itu berlaku padahal Malaysia ialah negara tetangga yang paling dekat dengan Indonesia.

Isu berkenaan kini dilaporkan secara meluas  di negara 250 juta jiwa ini, dan mendapat kritikan keras netizen.

Berkaitan punca sebenar kejadian malang itu, Retno mengakui masih mencari sebab sebenar.

“Saya sedang kontak dengan lapangan, sebenarnya penyebabnya apa,” katanya dalam satu majlis di sini.

Insiden bendera Indonesia terbalik tersebut terjadi pada pentas SEA Games 2017 di Kuala Lumpur.

Melalui decitan Twitter @imam_nahrawi,  Menteri Pemuda dan Olahraga, Imam Nahrawi, menyatakan kekesalannya.

“Pembukaan #SEAgame2017 yg bagus tapi tercederai dg keteledoran fatal yg amat menyakitkan. Bendera kita….Merah Putih. Astaghfirullaah….”

Posting berkenaan disertai foto sebuah buku panduan pesta olahraga negara-negara Asia Tenggara itu.

“Saya kira ini sangat teledor dan ceroboh sekali. Hal ini mencederai kemegahan pembukaan SEA Games 2017 yang disaksikan jutaan orang,” kata Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) Imam Nahrawi  seperti dipetik Antaranews.

Imam berkata, bakal berkoordinasi dengan Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (Menko PMK) dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia (Menkumham).

Komisi 1 DPR yang mengurusi bidang luar negeri menyifatkan kejadian itu merupakan kesilapan fatal Malaysia selaku tuan rumah SEA Games 2017.

“Terbaliknya bendera Indonesia dalam materi pertandingan persahabatan Sea Games adalah kecerobohan yang melukai rasa persahabatan dua negara,” ujar Wakil Ketua Komisi I DPR Meutya Hafid dalam keterangan media.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Bapak Imam, saya minta maaf atas kesilapan ini. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf,” katanya.

Khairy berkata demikian di laman Twitternya sebagai jawapan kepada catatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi mengenai kesilapan demikian.

Buku berkenaan diedarkan kepada pegawai sukan dan mereka yang hadir dalam acara rasmi pembukaan yang meriah di Bukit Jalil malam tadi.
Bendera Indonesia Terbalik Cetakan Di Sukan SEA 2017

No comments