Header Ads

Sultan Kedah Mangkat Pada Umur 89 Tahun

Sultan Kedah Mangkat Pada Umur 89 Tahun

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah mangkat pada 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit di sini.

Almarhum baginda, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di sini, petang Isnin, lapor Bernama.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Ahmad Bashah berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Muhamad Bashah berkata, sepanjang tiga hari bermula Isnin, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

"Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.

Almarhum Sultan Abdul Halim turut melakar sejarah dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 21 Sept 1970 hingga 12 Sept 1975 dan 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 pada Disember tahun lalu dan digantikan oleh pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927. Baginda mewarisi takhta pemerintahan negeri Kedah pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda Baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.


Tuanku Abdul Halim kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Pada 1952, ketika Baginda masih bergelar Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim melanjutkan pengajian di Kolej Wadham, Oxford di London dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.

Tuanku Abdul Halim mengahwini Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dan mereka dikurniakan tiga puteri, Tunku Soraya, Tunku Salina dan Tunku Puteri Intan Safinaz. Tunku Salina telah meninggal dunia.

Sultanah Bahiyah mangkat pada 2003. Tuanku Abdul Halim mengahwini Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 dan diumumkan sebagai Sultanah Kedah yang baharu pada 9 Januari 2004 dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah



1 comment

atiehilmi dot com said...

innalillahinailahirojiun..