9 Mei 2018 Cuti Umum

9 Mei 2018 Cuti Umum

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengisytiharkan hari mengundi 9 Mei depan sebagai hari kelepasan am tambahan seluruh negara.
Keputusan itu dibuat setelah orang ramai menyuarakan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab memandangkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja.
"Ini bagi membolehkan rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi," menurut kenyataan PMO.
Terdapat juga petisyen atas talian bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya memperkenankan permohonan itu.
Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan – Selangor dan Pulau Pinang – juga sedang meneliti kemungkinan memberikan cuti peristiwa pada hari itu.
Menurut kenytaan PMO, cuti umum itu bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari mengundi PRU14 itu pada hari bekerja.
"Pengisytiharan cuti umum itu dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan itu.
Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri hendaklah mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing, menurut kenyataan itu.