Tugas -Tugas Peguam Negara - Hanif Bin Idrus

Sebuah Blog Santai Tentang Kehidupan

Monday, June 4, 2018

Tugas -Tugas Peguam Negara

Tugas -Tugas Peguam Negara
Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur (SYAHREDZAN JOHAN)

Untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam, ada baiknya jika kita memahami fungsi dan tanggungjawab Peguam Negara dalam kerangka Perlembagaan kita.

Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan Malaysia.


Apakah kelayakan ini? Orang tersebut mestilah seorang warganegara Malaysia dan bagi tempoh 20 tahun sebelum pelantikannya beliau telah menjadi peguam atau menjadi anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, atau pada suatu masa menjadi peguam dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu negeri.

Adalah menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Kabinet atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Kabinet, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang yang lain.

Namun demikian, tanggungjawab ini sampai ke menasihati mana-mana ahli Kabinet dalam isu-isu peribadi yang tidak ada kena-mengena dengan kedudukan mereka sebagai ahli Kabinet.

Dalam melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal di dalam negara dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.

Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Kabinet, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berbeza dengan seorang hakim, untuk memecat Peguam Negara, tidak perlu diadakan suatu tribunal bagi tujuan sedemikian. Cukup sahaja Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuang dan kemudian menukar Peguam Negara tersebut.

Namun demikian, ini bergantung juga sekiranya Peguam Negara tersebut juga merupakan seorang kakitangan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, maka terdapat kaedah-kaedah yang perlu dipatuhi untuk menurunkan jawatan seseorang.

Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Di samping itu, undang-undang juga boleh digubal untuk memberi Peguam Negara kuasa untuk menentukan mahkamah prosiding hendak dimulakan atau mahkamah yang lain prosiding tersebut wajar dipindahkan.

Ini bermakna, Peguam Negara seorang sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu wajar didakwa, atau sama ada pendakwaan itu wajar diteruskan atau tidak.

Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa budi bicara Peguam Negara itu adalah mutlak dan tidak boleh disemak. Dalam menjalankan tanggungjawab dan menggunakan kuasa ini, Peguam Negara wajar memastikan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang dipatuhi.

Sekiranya kuasa tersebut tidak dijalankan dengan betul, maka mahkamah wajar menyemak sama ada penggunaan kuasa tersebut.

Tidak tepat juga untuk mana-mana pihak mengatakan bahawa apa-apa keputusan Peguam Negara tidak wajar dipersoalkan. Ini kerana, sebagai seorang yang berkhidmat untuk negara dan rakyat, segala tindak-tanduk dan keputusan Peguam Negara seharusnya boleh dipersoalkan oleh rakyat.




No comments: